BARANGKALI tidak salah untuk menyimpulkan bahawa sebilangan besar daripada kita belum pernah melalui pengalaman mendengar keasyikan muzik gamelan Melayu.

Pementasan alunan muzik gamelan terlalu terbatas dan sangat jarang diangkat pada acara-acara bersifat nasional.

Justeru, memahami kepentingan mempertahankan seni warisan itu, kumpulan gamelan Melayu kontemporari, Gangsapura mengambil inisiatif merapatkan jurang antara penghibur dan penonton serta mencipta pengalaman yang mengasyikkan untuk membawa penonton ke suasana muzik yang berbeza.

Bertempat di Black Box, Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Kuala Lumpur, Gangsapura akan mementaskan pementasan yang diberi nama 'Kampung Ronggeng' pada 8 hingga 11 Jun ini bermula pukul 8.30 malam.

Persembahan yang akan diadakan di tengah-tengah pentas dengan penonton mengelilinginya di setiap sudut membolehkan suasana yang lebih mesra dan terhubung, kerana setiap seorang daripada penonton berpeluang merasai pengalaman secara dekat.

Selain keaslian dan keunikan muzik gamelan itu, setiap penonton juga dipelawa berpakaian seperti  'orang kampung' dan menjadi sebahagian daripada elemen persembahan yang terdiri daripada 10 komposisi gamelan oleh Teuku Umar Ilany dan Mohamad Faliq, yang mengetengahkan pengalaman, kehidupan dan memori 'orang kampung'.

Penggerak utama kumpulan gamelan Melayu kontemporari Gangsapura.

Pementasan itu kelak bukan sahaja mengenai muzik, bahkan apa yang paling utama ialah, ia mengenai mewujudkan komuniti dan memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan penonton dan penghibur.

“Kami percaya bahawa pengalaman yang unik dan mengasyikkan ini adalah yang dicari dan memberikan nafas baharu kepada stail persembahan muzik.

“Sertai kami untuk perjalanan yang tidak dapat dilupakan melalui bunyi dan seni, di mana sempadan antara penghibur dan penonton terlerai. Ini adalah pengalaman muzik yang anda tidak mahu ketinggalan,” kata Gangsapura dalam kenyataan yang diedarkan.

Kumpulan gamelan kontemporari Gangsapura ditubuhkan pada Oktober 2016, bertujuan mempromosi budaya Malaysia, terutamanya gamelan Melayu, dan membangunkan seni tradisional serta menyemai kesedaran kemahiran seni dan muzik dalam kalangan masyarakat.

Diasaskan oleh gandingan Teuku Umar Ilany dan Nur Diyana Nadirah, Gangsapura berusaha memenuhi misinya untuk memberi inspirasi, memotivasi, mendidik dan berkomunikasi dengan muzik.

Gangsapura beraspirasi untuk menjadi contoh dan perintis dalam perkembangan muzik gamelan tradisional dan kontemporari serta mewujudkan kesedaran masyarakat tentang bentuk seni tradisional Malaysia.

Dianugerahkan sebagai Persembahan Terbaik 2019 oleh Kakiseni, Gangsapura terdiri daripada peminat gamelan dan pemuzik dari pelbagai latar belakang yang mendedikasikan hidup dan cinta mereka kepada muzik dan gamelan.



PEMENTASAN KAMPUNG RONGGENG

Tarikh: 8 - 11 Jun 2023
Masa: 8.30 malam - 10.00 malam
Tempat: Black Box, Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Kuala Lumpur.

Harga tiket:
Pipit: RM63 (tiket sahaja)
Enggang: RM108 (tiket, lanyard & t-shirt eksklusif)

Tempahan secara pukal (pelajar sahaja): RM38 (minima 30 orang dengan 1 penjaga percuma).
Kanak-kanak di bawah umur 7 tahun tidak dibenarkan.

Dapatkan tiket anda di sini: https://gangsapura.com/products/kampung-ronggeng-concert