BERITA ini barangkali sesuatu yang enggan dibaca oleh anak-anak penghibur ternama dunia,
Mick Jagger.

Masakan tidak, rocker itu menegaskan, anak-anaknya yang seramai lapan orang itu ‘tidak memerlukan’ kekayaannya yang bernilai AS$500 juta (RM2.3 bilion) untuk hidup dengan baik.’

Justeru, Jagger mengesyorkan, satu hari nanti beliau mungkin menyumbang hartanya kepada badan-badan amal.


Dalam satu wawancara dengan Wall Street Journal baru-baru ini, penyanyi itu membincangkan mengenai perniagaan Rolling Stones ketika kumpulan tersebut bersedia untuk mengeluarkan album pertama mereka dalam 18 tahun.

Menurut Jagger, walaupun beliau tidak gemar berurusan dengan aspek perniagaan industri muzik, namun, itu merupakan keperluan.

Rolling Stones telah menjana jutaan dolar dengan melakukan konsert jelajah sepanjang tahun.

Apabila ditanya sama ada terdapat rancangan untuk menjual katalog muzik mereka selepas tahun 1971 untuk menjana lebih banyak wang, Jagger menolak berbuat demikian.

Ini kerana, kata Jagger: "anak-anak saya tidak memerlukan AS$500 juta untuk hidup dengan baik.”

Kesemua lapan anak superstar itu ialah Karis, Jade, Elizabeth, James, Georgia May, Lucas, Gabriel dan Deveraux yang berusia antara enam hingga 52 tahun.

Jagger yang berusia 80 tahun juga sedar bahawa wang masih boleh dijana.

"Sekarang anda boleh mempunyai perniagaan anumerta bukan?" katanya.

"Anda juga boleh mempunyai konsert jelajah anumerta." - CNN