HIBURAN

"Kebolehan penyanyi dinilai dari banyak sudut" - M Nasir ulas kritikan Atilia berhubung keputusan AIM

Saharudin Musthafa 20/09/2025 | 01:00 MYT
Menurut M Nasir, kelebihan mencapai nota tinggi hanya dianggap sebagai nilai tambah, bukannya penentu mutlak. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Keupayaan mencapai nada tinggi bukan jaminan kemenangan dalam sesebuah pertandingan muzik.

Sebaliknya, kemenangan itu, tegas seniman Datuk M Nasir, ditentukan oleh kesempurnaan gabungan pelbagai elemen vokal dan seni persembahan.

Menjelas kritikan penyanyi Atilia Haron yang mempersoalkan kemenangan penyanyi bernada tinggi dalam sebuah anugerah muzik hujung minggu lalu, M Nasir, 68, berkata, penilaian juri profesional sentiasa mengambil kira keseluruhan aspek keupayaan seorang penyanyi, bukan sekadar menilai dari sudut satu kekuatan sahaja.

“Penyanyi dinilai daripada pelbagai sudut. Antaranya jangkauan vokal atau range suara, tona yang merdu, kawalan dinamik, teknik pernafasan serta kemampuan bermain dengan ritma.

“Kalau ada tiga penyanyi, juri akan mempertimbangkan semua faktor itu. Seorang mungkin ada range luas, seorang lagi memiliki tona sedap, manakala seorang pula bijak bermain teknik.

"Yang paling lengkap secara keseluruhan, dialah yang layak diangkat sebagai pemenang,” jelasnya ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Cipta 3, di sini, pada Khamis lalu.

Penyanyi lagu Mantera Semerah Padi itu turut menegaskan, kelebihan mencapai nota tinggi hanya dianggap sebagai nilai tambah, bukannya penentu mutlak.

“Bukan kerana suara tinggi semata-mata. Walaupun tidak mencapai nada tinggi, penyampaian penuh rasa tetap boleh memberi kesan kepada pendengar.

“Tetapi kalau seseorang penyanyi mampu membawa nada tinggi dengan merdu dan tepat pada tempatnya, itu sudah tentu menjadi bonus besar buatnya,” katanya.

Mengulas persoalan sama ada penyanyi bernada tinggi lebih mudah diterima khalayak, M Nasir melihat faktor budaya turut memainkan peranan.

“Dalam budaya kita, memang ada kecenderungan kepada vokal tinggi, umpama bacaan al-Quran yang beralun dan merdu.

“Tetapi tidak semua suara tinggi sedap. Bezanya, yang menang kali ini, suaranya tinggi dan enak didengar. Itu kekuatannya.

“Nilai itu bergantung pada dinamik persembahan ketika pertandingan atau rakaman. Selebihnya, soal rezeki dan nasib turut menentukan,” ujarnya.

Isu ini tercetus apabila Atilia memuat naik hantaran di media sosial dengan membandingkan senario industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade, yang berjaya menawan dunia tanpa perlu meninggikan tona suara.

“Kalau Norah Jones jadi penyanyi di Malaysia, adakah dia akan menang anugerah? Tidak, sebab dia tidak menjerit ketika menyanyi. Sama juga dengan Sade,” tulisnya.

Namun hantaran itu, yang mencetuskan perdebatan hangat, telah dipadam kemudian.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, kenyataan Atilia tetap dikaitkan dengan kejayaan besar Aina Abdul yang merangkul trofi utama di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di Arena of Stars, Genting Highlands, Sabtu lalu.


#M Nasir #Atilia Haron #Anugerah Industri Muzik #Norah Jones' #Aina Abdul