'Kena Main' mahu jentik penonton berfikir tentang isu semasa - Khalid Salleh

Syafique Shuib
Mac 28, 2015 09:00 MYT
Barisan pelakon ternama yang menjayakan teater 'Kena Main' yang sedang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 5 April depan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Pementasan malam pertama teater ‘Kena Main’ berjalan lancar walaupun pihak produksi hanya diberi masa satu hari untuk melakukan sesi latihan dan berkenalan dengan panggung di Istana Budaya.
Masa yang suntuk itu tidak memberikan masalah yang besar kepada pengarah teater Khalid Salleh kerana menggangap semua yang terlibat sudah memberikan yang terbaik.
"Untuk saya tidak ada cabaran. Masing-masing sudah ada tanggungjawab. Tanggungjawab saya adalah untuk mengarah dan untuk membina perwatakan setiap pelakon. Kemudian saya dibantu oleh bahagian teknikal, kreatif, pereka set dan sebagainya,” jelas Khalid yang ditemui pada sidang media selepas selesai pementasan teater itu pada malam Jumaat.
Beliau juga teruja kerana pementasan malam pertama mendapat sokongan padu oleh orang ramai yang memenuhi Panggung Sari di Istana Budaya.
"Bagi mereka yang sudah faham cara saya berteater mungkin ingin melihat bagaimana kali ini ia dipentaskan di Istana Budaya. Mungkin ada yang sudah melihat pementasan teater Kena Main dahulu dan teruja untuk melihat pementasan ini.
"Penonton sudah biasa disuap dengan pementasan teater yang... maaf cakap... kurang dari segi pemikirannya,” kata Khalid.
Katanya, teater 'Kena Main' banyak ketengahkan isu-isu kemasyarakatan seperti nilai agama, persoalan undang-undang, nilai setia kawan dan juga percintaan.
“Sebenarnya daripada kita yang celik ini, ramai yang buta sejarah, buta budaya, buta rasa kemanusiaan, dan banyak lagi hal-hal ‘kebutaan’ dalam kehidupan kita,” katanya.
'Kena Main' mengisahkan kehidupan empat sahabat yang cacat penglihatan mencari rezeki dengan membuat persembahan nyanyian di kaki lima di Kuala Lumpur.
Setelah lebih 15 tahun menyepikan diri daripada pentas teater, pelakon prolifik Eman Manan akhirnya terbuka hatinya untuk menerima tawaran pengarah membawakan watak Pie.
Beliau yang sebelum ini lebih dikenali dengan watak berat dan gagah akui melakonkan watak orang buta mempunyai cabaranya tersendiri.
“Semasa saya membawa watak kasar dan berat, saya mendapat laporan dan maklumat yang kononnya saya berjaya melakonkan watak itu. Apabila watak ini diberikan kepada saya, saya fikirkan watak ini lebih berat. Apabila saya dapat naskah ini, saya melihat ada keperluan untuk saya terlibat dengan kerja ini dan membawa watak Pie.
“Perlu saya buang segala tegap dan kasar saya untuk menjayakan watak Pie.” jelas Eman.
Azizah Mahzan, yang membawa watak Laila dari Persatuan Kebajikan Orang Kurang Upaya, tidak perlu berfikir panjang untuk menerima watak yang pernah dilakonkannya pada tahun 1992 ketika dipentaskan di MaTic.
Beliau turut berkata bahawa karya Khalid begitu halus jika dikaji disebalik setiap dialog yang dilontarkan oleh semua barisan pelakon.
“Masalah sosial yang cuba diketengahkan oleh Khalid tidak hanya berlaku kepada kita yang kononnya ‘sempurna’ tetapi ia turut berlaku kepada mereka yang buta dan cacat anggota.
"Kita dapat melihat dalam teater ini bahawa tidak semua manusia sempurna, tidak semua yang jahat dan tidak semua yang baik,” katanya.
Sementara itu, Aida Othman yang membawa watak Muna akui teruja dapat menjayakan teater ini dengan barisan ‘otai-otai.
“Pada mulanya saya seperti ingin menarik diri. Namun pelakon-pelakon yang lebih senior banyak membantu dan memberikan sokongan.
“Melakonkan watak buta ini mempunyai cabarannya tersendiri. Ia bukan setakat pejam mata untuk menjadi buta tetapi mereka mempunyai sikap yang berbeza. Saya harus memberikan fokus bukan sahaja kepada dialog tetapi gerak geri sekali,” kata Aida kepada pemberita.
Teater Kena Main turut menampilkan Ebby Saiful, Sani Sudin, Rodhi Md Nor, Sabri Yunus dan Fauziah Nawi.
Teater Kena Main akan dipentaskan di Istana Budaya sehingga 5 April depan.
#Aida Othman #Azizah Mahzan #Eman Manan #Istana Budaya #Khalid Salleh #Kita Main