ZAMAN kanak-kanak anda tidak akan normal sekiranya anda adalah anak kepada Raja Pop dunia, Michael Jackson.

Pergilah ke mana sahaja, anda akan dikawal oleh sekumpulan pengawal keselamatan.

Wajah anda pula akan ditutup dengan topeng kerana mendiang Jackson bimbang dengan keselamatan anak-anaknya.

Jackson tidak mahu orang ramai mengetahui wajah anak-anaknya selain mengelak media merakamkan identiti zuriatnya.

Pengalaman melalui kehidupan yang 'menyukarkan' itu dikongsi oleh anak sulung Jackson, Prince Michael Jackson dalam satu temu bual bersama L.A. Times.

Selepas sekian lama berdiam diri, Prince bercerita secara terbuka kenapa mendiang bapanya terlalu melindungi dia dan adik-adiknya termasuk mengenakan topeng setiap kali keluar bersama keluarga.

Kepada sebilangan besar daripada kita pasti beranggapan ini perkara yang pelik tetapi dalam temu bual eksklusif itu, Prince mendedahkan mengapa ayahnya melakukan itu.

"Ayah saya akan berpesan bahawa kita perlu memakai topeng kerana dia mahu kita memiliki kehidupan sendiri tanpa dia," kata Jackson, sambil menyatakan bahawa dia dan adik-beradiknya sering keluar tanpa ayahnya kerana mereka tidak dapat dikenali.

Prince turut berkata, semasa kecil, dia tidak pernah menyedari bahawa hidupnya berbeza daripada kanak-kanak lain.

Namun, perjalanannya ke Disneyland dengan ayahnya suatu masa dahulu menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

"Saya masih ingat ketika berada di Disneyland, saya mendekati tingkap dan ada ramai peminat yang melambaikan tangan dan mengambil gambar saya," katanya.

Prince tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari tahap kemahsyuran ayahnya.

"Saya fikir ia adalah perkara biasa, jadi saya hanya melambai balik.

"Namun, apabila saya melihat video persembahan dia dan terdapat beberapa orang pengsan, saya sedar kerja yang dia lakukan amat bermakna bagi orang ramai," kata Prince yang kini berusia 22 tahun.

FOTO kenangan mendiang Michael Jackson bersama anak sulungnya, Prince ketika bayi. - Gambar fail

Sekalipun bergelar anak kepada penyanyi legenda dunia, namun Prince tidak pula mewarisi bakat seni mendiang bapanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu tidak malu mengakui, dia tidak mempunyai bakat menyanyi seperti bapanya.

Bagaimanapun, Prince bercita-cita untuk melibatkan diri dalam perniagaan muzik.

"Muzik adalah sebahagian besar daripada kehidupan saya, dan ia telah membentuk saya sebagai seorang individu dan saya sudah lama teringin untuk menceburi dunia produksi," ujar Prince lagi.

Sebagai merealisasikan keinginannya itu, Prince mengushaakan syarikat produksi sendiri, King's Son Productions yang menfokuskan kepada penghasilan video muzik dan filem pendek.

Dilahirkan pada 13 Februari, 1997 di Los Angeles, California, Prince merupakan anak sulung Jackson menerusi perkahwinan dengan Debbie Rowe.

Pasangan berkenaan bagaimanapun bercerai pada 1999.

MICHAEL Jackson terlalu melindungi anak-anaknya kerana mahu anak-anaknya memiliki kehidupan mereka sendiri. - Gambar fail