Kereta Supra mendiang Paul Walker dalam 'Fast & Furious' bakal dilelong

Astro Awani
Mei 24, 2021 01:00 MYT
Kereta Toyota Supra digunakan mendiang Paul Walker dalam sekuel "Fast and Furious" akan dibuka untuk bidaan pada satu acara lelongan di Las Vegas bulan depan. -Gambar fail
SEBUAH kereta digunakan mendiang Paul Walker dalam sekuel "Fast and Furious" akan dibuka untuk bidaan pada satu acara lelongan yang akan diadakan di Las Vegas bulan depan.
Menurut penganjur acara Barret Jackson, kereta jenis Toyota Supra berwarna jingga keluaran tahun 1994 itu digunakan oleh mendiang dalam filem "Fast and Furious" dan "2 Fast and 2 Furious" pada 2003.
Pembida yang berjaya menawarkan harga tertinggi akan turut diberikan sijil keaslian yang sah.
"Kereta itu dibina oleh Eddie Paul di The Shark Shop di El Segundo, CA, untuk filem pertama dan dibawa kembali dan diubah suai oleh pembangun asal sebagai 'Slap Jack's Supra' dalam sekuel filem itu," jelas Barret.
Sekual filem "Fast and Furious" hasil lakonan mendiang berjaya mengutip keuntungan berbilion dollar.
Daripada lapan siri filem berkenaan, enam daripadanya dibintangi oleh Paul Walker.
Bagaimanapun mendiang tidak sempat menyempurnakan siri ketujuh filem tersebut selepas terbunuh dalam kemalangan ngeri di South California pada 2013.
Dalam kejadian malang itu, Porsche Carrera GT yang dipandu rakannya Roger Rodas terbabas pada kelajuan yang tinggi sehingga meletup dan membunuh kedua-dua mereka.
#Toyota Supra #Paul Walker #Fast and Furious #sekuel #warna jingga #Slap Jack's Supra #Eddie Paul #Roger Rodas #Porsche Carrera GT