Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
HIBURAN

Kes cerai tangguh lagi, peguam wakili Uqasha pula tarik diri

Gempak 28/10/2025 | 05:45 MYT
Prosiding perceraian antara Uqasha Senrose dan Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini ditangguhkan.
PROSIDING perceraian antara pasangan selebriti, Uqasha Senrose dan Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Selasa terpaksa ditangguhkan selepas peguam yang mewakili aktres itu dilaporkan menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.


Ringkasan AI
  • Prosiding perceraian antara Uqasha Senrose dan Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan ditangguhkan selepas peguam Uqasha menarik diri dan tiada wakil baharu hadir bagi pihaknya.
  • Mahkamah memberikan peluang terakhir kepada Uqasha untuk hadir bersama peguam baharu pada prosiding seterusnya yang ditetapkan pada 19 November, bagi menentukan sama ada kes akan diteruskan.
  • Permohonan perceraian difailkan di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam atas alasan tiada persefahaman, selepas pasangan selebriti itu berkahwin pada November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 18 bulan.


Menurut peguam syarie Kamal Adli, Abdul Hadi Mohammad Salleh, prosiding berlangsung secara sebelah pihak memandangkan tiada wakil baharu hadir bagi pihak Uqasha.

“Kami agak terkejut apabila dimaklumkan bahawa peguam yang sebelum ini mewakili Uqasha telah menarik diri. Sepatutnya ada peguam baharu yang menggantikan, namun tiada siapa yang hadir pada hari ini,” jelas Abdul Hadi ketika ditemui selepas prosiding tamat.

Dalam pada itu, difahamkan pihak mahkamah memberikan amaran serta peluang terakhir kepada Uqasha untuk menghadiri prosiding seterusnya bersama peguam baharu bagi meneruskan kes berkenaan.

“Hakim memberi peringatan agar Uqasha hadir semula dengan peguam bagi menentukan sama ada kes ini akan diteruskan atau sebaliknya,” tambahnya.

Mahkamah menetapkan 19 November depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes tersebut.

Difahamkan, permohonan perceraian itu difailkan di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, atas alasan tiada persefahaman antara pasangan suami isteri.

Uqasha memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu, manakala sebutan pertama kes berlangsung pada 22 Oktober sebelum disambung semula pada Selasa.

Pasangan yang popular menerusi drama Setelah Terlafaznya Akad itu berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan. - Gempak



#Uqasha Senrose #Kamal Adli #kes cerai #peguam tarik diri