HIBURAN
“Khairul sangat berdisiplin, kami sudah seperti keluarga” - Fauziah Nawi

Sekalipun masyhur sebagai pelawak, realitinya, Allahyarham Khairul, kata Fauziah, merupakan seorang yang sangat serius, teratur dan berdisiplin dalam setiap aspek kehidupannya.
KUALA LUMPUR: Pemergian pelawak veteran, Khairul Azhar Abdul Samad ke rahmahtullah malam tadi merupakan berita yang sangat menyentuh hati rakan seperjuangannya termasuk pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Fauziah Nawi.
Sekalipun masyhur sebagai pelawak, realitinya, Allahyarham Khairul, kata Fauziah, merupakan seorang yang sangat serius, teratur dan berdisiplin dalam setiap aspek kehidupannya.
Mengenang kerjasama mereka dalam sitkom popular era 1980-an, Santan Berlada, Fauziah berkata, sehingga kini, beliau sangat mengagumi disiplin Allahyarham dan bagaimana arwah merencana kerjaya seninya.
“Arwah seorang yang sangat serius orangnya. Kalau kerja, mesti teratur dan penuh disiplin. Arwah akan pastikan semua pasukan dalam produksi tahu peranan masing-masing.“Pendek kata, beliau memudahkan banyak urusan kami di set. Saya pasti akan merindui arwah,” kata Fauziah kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Fauziah Nawi
Fauziah turut memberitahu, kali terakhir beliau berbual dengan Allahyarham Khairul ialah pada tahun lepas melalui telefon.
Sebagai rakan artis, hubungan akrab antara Fauziah dan Allahyarham Khairul serta rakan-rakan Santan Berlada tidak terhenti di set penggambaran sahaja, sebaliknya berterusan hingga menjadi seperti keluarga sendiri.
“Persahabatan kami sudah seperti sebuah keluarga. Mereka (Khairul dan rakan-rakan Santan Berlada) suka sangat lepak rumah saya. Suami saya pun tak kisah kalau saya keluar dengan mereka,” ujarnya sambil tertawa mengenang kenangan lalu.
Fauziah turut berkongsi, Khairul sering memanggilnya “Kak Ti”, malah menganggapnya sebagai kakak yang sering menasihati dan didengari.
“Saya selalu jadi kakak tua yang membebel, tapi dia dengar cakap saya,” katanya sebak.
Fauziah menambah, pemergian Khairul merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni dan kenangan bersama arwah akan terus terpahat dalam ingatan.
Allahyarham Khairul Azhar yang berusia 70 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang pada malam Khamis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami