Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
HIBURAN

Kim Jong Kook umum tamat zaman bujang selepas 30 tahun bergelar artis

Astro Awani 18/08/2025 | 07:50 MYT
Kim Jong Kook (foto) umum akan berkahwin secara tertutup di Seoul sempena ulang tahun ke-30 penglibatannya dalam industri hiburan. -Gambar fail/IG kjk76
SEOUL: Penyanyi dan pelakon terkenal Korea Selatan, Kim Jong Kook, 49, umum bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat, sempena ulang tahun ke-30 penglibatan dalam industri hiburan.


Ringkasan AI
  • Kim Jong Kook umum akan berkahwin secara tertutup di Seoul sempena ulang tahun ke-30 penglibatannya dalam industri hiburan.
  • Pengumuman dibuat melalui surat tulisan tangan, tanpa mendedahkan identiti bakal isteri, namun spekulasi timbul selepas beliau membeli apartmen mewah di Gangnam.
  • Peminat menyambut berita dengan gembira, mengakhiri penantian panjang terhadap selebriti yang sering digelar lelaki bujang paling layak di Korea.


Pengumuman itu dibuat secara peribadi melalui surat tulisan tangan yang dimuat naik ke forum peminat rasmi dan media sosial.

Dalam surat tersebut, Kim memaklumkan majlis perkahwinan akan diadakan secara tertutup di Seoul, hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.

“Saya akan berkahwin. Tahun ini adalah ulang tahun ke-30 penglibatan saya, dan walaupun saya tidak menghasilkan album seperti yang dirancang, saya telah ‘menghasilkan’ pasangan hidup saya,” tulis Kim dalam nada berseloroh.

Kim Jong Kook mula dikenali sebagai anggota duo Turbo pada tahun 1995 sebelum berjaya membina kerjaya solo yang cemerlang.

Beliau juga merupakan bintang utama program popular Running Man sejak 2010, yang melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa.

Walaupun identiti bakal isterinya tidak didedahkan, spekulasi mula timbul selepas Kim membeli sebuah apartmen mewah di Gangnam pada Mei lalu, yang disebutnya sebagai “rumah pengantin baru” dalam satu program TV pada Jun.

Dalam suratnya, Kim turut meluahkan rasa gementar dan terharu kerana akhirnya dapat berkongsi berita yang telah lama dinantikan oleh peminat.

“Saya rasa lebih gementar menulis surat ini berbanding ketika membuat persembahan di pentas,” katanya.

Pengumuman ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh peminat yang selama ini menantikan detik bahagia buat selebriti yang sering digelar lelaki bujang paling diminati di Korea.










#Kim Jong Kook #bakal berkahwin #berkahwin secara tertutup #pelakon Korea Selatan