HIBURAN

[KOLUMNIS] Jalan panjang menuju Laos: Dari Viantiane ke Luang Prabang

Azharul Azmir Kamarulzaman 29/06/2025 | 06:00 MYT
Laos Cinema Department.
HIDUP adalah perjalanan yang diisi oleh orang-orang yang kita temui di sepanjangnya.
Penghujung Januari 2020, COVID-19 masih belum menjadi pandemik - dengan hanya beberapa kes awal dikenal pasti di luar China. Namun ia sempat menimbulkan kebimbangan. Setelah berfikir panjang, saya buat keputusan untuk meneruskan perancangan untuk menjejakkan kaki buat pertama kali ke satu-satunya negara tanpa pantai di Asia Tenggara - Republik Demokratik Rakyat Lao - atau lebih dikenali sebagai Laos.
Tidak pasti mengapa, meski sering ke pelbagai negara serantau, Laos menjadi negara terakhir saya kunjungi untuk melengkapkan senarai kunjungan ke negara-negara ASEAN. Pertama kali merancang ke sana ketika saya mengusahakan Kembara Sinema Indo-China pada tahun 2012 - namun laluan berubah ketika itu. Sejak itu, beberapa kali lagi saya merancang - tetapi ada sahaja yang menghalang.
Jadi, pada awal pagi 21 Januari 2020 itu saya tekad. Meski timbunan komitmen kerja yang membuatkan saya tidak tidur semalaman pada malam sebelumnya - dengan perancangan lawatan yang telah disusun lebih awal - saya terbang ke Vientiane, ibu negara Laos.
Agenda utama di sana adalah mengunjungi Laos Cinema Department - jabatan kerajaan di bawah Kementerian Penerangan, Kebudayaan & Pelancongan Laos - yang bertanggungjawab terhadap sektor perfileman di negara ini. Kunjungan ini diatur oleh sahabat saya yang bertugas di jabatan tersebut, Dethnakhone Luangmovihane yang bertanggungjawab menguruskan hubungan luar negara.
Ia dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Vithoune Sundara, yang ketika itu Ketua Pengarah bagi jabatan berkenaan. Beliau berkongsi serba sedikit mengenai situasi perfileman di negara tersebut - termasuklah dalam konteks landskap penerbitan serta proses kebenaran penggambaran di `negara sejuta gajah` itu. Perbincangan kami turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah, Vongchit Phommachak.
Saya diberikan penerangan mengenai pemain-pemain utama serta ekosistem dalam dunia perfileman Laos. Meski ia bukanlah sebuah industri yang besar, namun dengan latar sejarah dan struktur politik yang tersendiri – perfileman Laos adalah sebuah khazanah yang wajar diselongkar dan industrinya berpotensi untuk diterokai. Tidak dapat tidak, saya teringat kepada seorang sahabat saya dari Brunei yang pernah menerbitkan filem usahasama (co-production) dengan sebuah syarikat Laos beberapa tahun sebelum itu – yang pernah menyatakan kegembiraannya dengan kerjasama itu.
Seperti kelaziman bila ke luar negara, saya membawa buku mengenai perfileman Malaysia sebagai cenderamata. Salah satu yang sering saya bawa adalah buku “Malaysian Cinema in a Bottle : A Century (and a Bit More) of Wayang”, buku sejarah sinema Malaysia tulisan tokoh sejarawan filem Hassan Muthalib.
Buku bertukar tangan, sebagai simbol untuk saling mengenali sejarah dan latar belakang kedua negara – khususnya dalam dunia perfileman.
Selesai sesi tersebut, saya dibawa pula melawat Bahagian Arkib Filem di jabatan berkenaan. Saya bertuah dibawa sendiri oleh seorang lagi sahabat saya yang juga Pengarah Bahagian Arkib Filem; Sisavath Hongsombath. Saya dan Sisavath meski tidak pernah bertemu sudah lama berkenalan di media sosial, dan kami sering berhubung mengenai pelbagai perkara; terutama yang berkaitan pengarkiban filem. Penglibatan saya dalam usaha advokasi berkaitan pengarkiban filem membawa hubungan baik dengan arkib-arkib filem serantau.
Tambahan pula Sisavath pernah menjalani latihan berkaitan preservasi filem melalui pembiayaan Kementerian Luar Negeri Malaysia di bawah program Malaysia Technical Cooperation Programme (MTCP) di Kuala Lumpur - yang mana ia menjadi aset penting dalam perjalanan kerjayanya. Pengalamannya itu sering menjadi bahan bual dan pengikat yang menjadikan kami lebih akrab.
Bahagian Arkib Filem ini mempunyai dua buah vault (bilik sejuk penyimpanan filem) - memelihara sejumlah 14,000 cans (gulung) filem dalam format 35mm dan 16mm - dengan koleksi terawal bermula tahun 1955. Ketika itu, seramai tujuh orang arkivis bertanggungjawab ke atas koleksi penting ini.
Salah satu koleksi dalam simpanan pasukan Sisavath yang menarik perhatian saya pastinya sejumlah 450 rakaman berbentuk dokumentari dan laporan berita oleh enam orang kakitangan Neo Lao Hak Xath Film Division (Lao Patriot Front Film Division) ketika perang Indochina - dari tahun 1955 ke tahun 1980. Koleksi dalam bentuk filem 16mm & 35mm berjumlah 1,200 cans ini telah berjaya didaftarkan sebagai warisan serantau di UNESCO Memory of The World Asia Pasifik (MOWCAP) pada tahun 2014.
Rakaman ini adalah dokumentasi penting revolusi yang berlaku di Laos yang memperlihatkan transformasi sosio-politik dalam abad ke-20, disamping memberikan gambaran alternatif kepada perang Indochina dari sudut pandang tempatan.
Sebagai seorang yang lahir dan membesar dalam latar demokrasi berparlimen yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan, semua ini penting untuk saya lebih memahami sahabat kita dari negara republik sosialis satu parti ini.
Ketika di Vientiane, saya juga sempat cuba mengatur pertemuan dengan salah sebuah syarikat penerbitan filem utama di sana; Keoheang Production. Syarikat ini diterajui Jear Pacific, atau nama sebenarnya Phoumsana Sirivongsa – seorang penyanyi dan pengarah filem terkenal Laos. Namun, ia terpaksa dibatalkan kerana kebetulan Jear tidak sihat ketika itu.
Dua tahun setelah kunjungan itu - iaitu pada penghujung 2022 – filem terbitan saya terpilih untuk ditayangkan di Blue Chair - yang diadakan di sebuah lagi daerah di Laos iaitu Luang Prabang. Blue Chair sebelumnya dikenali sebagai Luang Prabang Film Festival merupakan salah satu festival yang dikenali di rantau ini.
Penulis hadir pada Blue Chair Film Festival.
Jemputan menghadiri festival tersebut memenuhi hasrat yang tertunda sekian lama. Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang memiliki keindahan muka bumi, saya sudah lama mahu ke sana. Malah saya pernah mengatur perjalanan kumpulan kakitangan saya untuk sebuah penggambaran program televisyen di sana sekitar tahun 2017; namun saya tidak dapat ikut serta ketika itu kerana kekangan komitmen lain yang lebih mendesak.
Dalam penerbangan ke Luang Prabang setelah transit di Bangkok, saya berkenalan dengan seorang sahabat penerbit dari Vietnam – yang kekal menjadi sahabat saya hingga kini. Beliau ada melawat saya di Kuala Lumpur beberapa bulan kemudian, dan saya juga ada melawat beliau di Ho Chi Minh City dalam tahun yang sama.
Dalam acara festival di Luang Prabang, saya bertemu semula dengan dua orang sahabat saya; Dethnakhone dan Sisavath. Mereka hadir mewakili Laos Cinema Department, sebagai rakan kerjasama kepada festival yang dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan diterajui warga Amerika Syarikat itu.
Dethnakhone ketika itu sudah naik pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah, menggantikan Vongchit yang telah bersara. Sisavath pula teruja dapat bertemu lagi – sempat membelikan saya minuman sebagai tanda selamat datang.
Penulis bertemu Ketua Pengarah Laos Cinema Department, Vithoune Sundara dan timbalannya, Vongchit Phommachak, pada awal 2020.
Saya hanya sempat beberapa hari di Luang Prabang kerana komitmen tugas yang lain – terpaksa meninggalkan festival sebelum ia berakhir. Meski singkat, Luang Prabang menjadi antara lokasi dalam senarai destinasi kesukaan saya kini.
Berbalik ke awal tahun 2020 – terdetik ketika itu, mengapa terlalu sukar untuk saya menjejakkan kaki ke negara ini. Saya telah mengunjungi semua negara ASEAN -- malah beberapa negara lain sudah saya ulang pergi berpuluh kali – tetapi tidak Laos.
Bertahun-tahun filem cuba membawa saya ke Laos – tercapai juga akhirnya. Membuatkan saya menyedari bahawa cabaran itu hanyalah sebahagian coretan perjalanan hidup - yang memberikan makna kepada perjalanan dan orang-orang yang kita temui di sepanjangnya.
Jalan panjang yang membuatkan kita lebih menghargai apabila tiba ke destinasi. Membuatkan saya lebih menghargai sebuah lagi wilayah sahabat serantau yang tidak kalah untuk dinikmati – dengan kekayaan warisan dan budaya – dan pastinya dunia sinemanya.

* Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd. Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#diplomasi filem #laos #Azharul Azmir