HIBURAN
[KOLUMNIS] Sinema Borneo - Mencari titik temu di pulau tiga negara
![[KOLUMNIS] Sinema Borneo - Mencari titik temu di pulau tiga negara [KOLUMNIS] Sinema Borneo - Mencari titik temu di pulau tiga negara](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/81754723511_SinemaBorneo.jpg)
BCCIC adalah sebuah organisasi bebas yang memfokuskan kepada usaha pembangunan pasaran dan bakat dalam bidang kandungan kreatif dan perfileman di wilayah ini. Gambar: Antara program anjuran BCCIC.
“DUNRUNG ruah rare, petan sangkuh benet", begitu kata peribahasa etnik Dayak Maanyan –salah satu peribumi yang mendiami bumi Kalimantan. Sebuah pesan yang membawa maksud untuk kita terus bersemangat menghadapi segala kepayahan; bahawa setiap usaha pasti terbayar dengan hasilnya.
Membaca peribahasa Dayak itu pada ketika kita menyambut Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia 2025 pada hari ini memberikan refleksi tersendiri – apatah lagi ketika kaki berjejak di bumi asal etnik itu sendiri.
Hari ini, saya berada di Kalimantan – tepatnya di Kota Pontianak, Kalimantan Barat.
Ini kali ketiga saya ke lokasi yang terkenal dengan panggilan Kota Khatulistiwa ini – sesuai kedudukannya yang benar-benar di atas garis tengah bumi. Saya kembali berjunjung ke Kalimantan Barat (Kalbar) kali ini, setelah beberapa bulan lalu melawat beberapa kota di Kalimantan Utara (Kaltara) dan Kalimatan Timur (Kaltim).Perjalanan dengan bas dari Kuching, Sarawak kelmarin mengambil masa sekitar sepuluh jam melalui perbatasan Tebedu-Entikong. Perjalanan yang memenatkan – tetapi penting bagi saya - untuk bertemu kembali rakan-rakan penggiat filem di sini; disamping meneliti semula potensi kerjasama selepas berakhirnya pandemik.
Sepanjang perjalanan, saya berkenalan dengan beberapa penumpang bas yang lain. Antaranya, seorang anak muda dari Miri yang ke Pontianak bagi melawat ahli keluarga yang berkahwin dan tinggal di sini – serta pasangan ahli perniagaan Pontianak yang pulang dari bercuti di Kuching. Perbualan yang membuktikan betapa akrabnya hubungan Malaysia dan Indonesia di pulau ini.
Bagi saya pula, hubungan akrab saya dan Borneo bermula sekitar sedekad yang lalu.
Beberapa lawatan kerja serta penggambaran yang dijalankan di Borneo ketika itu membuatkan saya mula jatuh cinta kepada pulau ketiga terbesar di dunia ini. Ia kemudiannya membawa kepada usaha saya bersama beberapa rakan-rakan untuk memulakan Borneo Creative Content Incubator Centre (BCCIC) pada tahun 2016.
BCCIC adalah sebuah organisasi bebas yang memfokuskan kepada usaha pembangunan pasaran dan bakat dalam bidang kandungan kreatif dan perfileman di wilayah ini. Melalui pengalaman menjalankan penerbitan di Borneo terdahulu – di samping penyertaan ke beberapa acara pasar filem di pelbagai negara meyakinkan saya bahawa wilayah ini memiliki jenama dan potensi yang cukup besar dalam konteks kandungan kreatif.
Tidak sekadar dalam perihal industri – tetapi kandungan kreatif dan perfileman mampu menjadi platform terbaik mengangkat nama Borneo ke mata dunia – termasuk dalam membina naratif lintas negara yang lebih unik dan segar.
Sejak itu, bersama BCCIC, saya mula menekuni pulau ketiga terbesar di dunia ini dengan lebih terperinci – serta dengan penuh rasa cinta.
Dengan tiga buah negara – Malaysia, Brunei dan Indonesia – Borneo merupakan sebuah wilayah istimewa yang mampu menjadi penghubung akrab kepada tiga buah negara ASEAN ini.
Meski hanyalah sebuah organisasi bebas bersifat tanpa keuntungan yang bergerak pada skala sederhana dengan segala limitiasi – BCCIC melaksanakan pelbagai program mengikut kemampuan kapasiti semasa.
Kami cuba melihat Borneo melangkaui sempadan negara; sebagai sebuah wilayah bersama. Dengan keunikan budaya di sini, tiga buah negara di Borneo ini mampu bersatu dan bersama membangunkan dunia sinema yang pasti mampu mendapat perhatian dunia.
Tidak dinafikan, dalam mencapai hasrat kebersamaan di antara wilayah di Borneo, pelbagai cabaran dihadapi; kekangan aspek logistik antara wilayah di Borneo menjadi antara salah satu daripadanya. Perjalanan bas selama 10 jam dari Kuching ke Pontianak sudah cukup meletihkan – apatah lagi jika mahu ke wilayah lain yang lebih jauh dan mencabar perjalanannya.
Namun, dari masa ke masa, hadir perkembangan membawakan khabar yang lebih baik. Contohnya, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia akan memulakan kembali penerbangan langsung dari Kuala Lumpur dan Kuching – ke Kota Pontianak bermula bulan hadapan. Laluan penerbangan ini akan kembali setelah terhenti sekian lama akibat pandemik tempoh hari.
Melalui perbualan dengan beberapa pemandu `e-hailing` di sini, mereka optimis bahawa pembukaan semua laluan penerbangan ini akan menyemarakkan kembali hubungan Malaysia dengan wilayah Kalimantan Barat – sekaligus menjadi sebagai pintu masuk kepada wilayah Kalimantan yang lain.
Menyusuri kembali jejak BCCIC sejak sembilan tahun lalu, kami berbangga dengan apa yang telah diusahakan selama ini.
Salah satunya adalah penerbitan sebuah dokumentari – sekaligus usaha pendokumentasian audiovisual – yang dijalankan pada tahun 2018 dan 2019. Selama tiga bulan, pasukan produksi kami menjelajah dari Sabah, Labuan, Brunei, Sarawak hingga ke Kalimantan untuk merakam bumi Borneo.
Selain itu, BCCIC banyak memfokuskan kepada program pembangunan kapasiti dan modal insan melalui pelbagai program latihan dan perkongsian. Kami juga berhasrat memperluas program perkongsian `Borneo Producers Exchange` yang sebelum ini tertumpu kepada wilayah di Malaysia – kepada turut merangkumi Brunei dan Indonesia.
Kini, dengan dukungan serta penglibatan aktif pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan dalam pemberdayaan industri kreatif di wilayah ini, ternyata potensi yang kami kenalpasti terdahulu bukan sekadar andaian dan ramalan tanpa asas. Perkembangan perfileman dalam beberapa tahun terakhir membuktikan bahawa bidang ini sebagai sesuatu yang boleh diandalkan.
Tidak terasa, tahun hadapan BCCIC akan berusia 10 tahun. Satu dekad mendekati dan memerhati Borneo cukup mengujakan.
Sempena satu dekad BCCIC, kami sedang merencana beberapa usaha untuk melengkapkan perjalanan 10 tahun pertama – sekaligus menjadi permulaan kepada dekad baharu kami di Borneo.
Bukan sekadar dalam konteks ekonomi mahupun perniagaan – tetapi juga persahabatan dalam keluarga besar tiga negara di pulau Borneo ini.
Sepertimana yang diungkapkan peribahasa Dayak tadi, semoga setiap usaha akan berhasil - khususnya dalam usaha membina sinema Borneo yang mampu dibanggakan kita semua.
Borneo - sebuah pulau, tiga negara dengan jutaan kepelbagaian – namun bersatu dalam semangat bersama.
* Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd. ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami