[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
HIBURAN

Kombinasi irama global dan tradisional, warnai malam kedua RWMF 2025

Syafik Shukri Jalil 21/06/2025 | 16:00 MYT
Sorakan ribuan penonton menyaksikan kumpulan Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay berjaya mencipta fenomenanya tersendiri dengan mempersembahkan beberapa lagu hitnya. - Gambar/ Astro AWANI
KUCHING: Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay, menutup pentas persembahan malam kedua Rainforest World Music Festival (RWMF) edisi 2025 yang bertemakan Connections: One Earth, One Love, pada Sabtu.
Tenaga luar biasa ditambah dengan sorakan ribuan penonton menyaksikan kumpulan funk dan soul dari Amerika Syarikat itu, berjaya mencipta fenomenanya tersendiri dengan mempersembahkan beberapa lagu hitnya.
Sebelum itu, pentas malam kedua RWMF dibuka dengan sesi Magic Hour Performance menyaksikan kumpulan muzik tempatan, Naungan, yang menampilkan keunikan pengunaan gabungan alat muzik seperti Sitar, Sape, Tabla dan Gu Zheng dalam penghasilan irama muzik kontemporari.
Seterusnya, kemunculan bertenaga Seppuku Pistols dari Jepun yang mempersembahkan beberapa karyanya antara lain turut menggamatkan persembahan malam kedua RWMF.
Dianggotai lebih daripada 20 ahli dan diketuai oleh Kapten Iida Danko, Seppuku Pistols berjaya mempamerkan keunikan irama muziknya di pentas yang berlatarbelakangkan kaki Gunung Santubong itu.
Kumpulan yang ditubuhkan selepas bencana nuklear yang melanda Fukushima pada 2011, Seppuku Pistols terkenal dengan persembahan penuh semangat dan pernah membuat persembahan di beberapa bandar utama dunia seperti di New York dan Dubai.
Kehangatan pesta muzik RWMF kemudian diteruskan dengan irama muzik yang lebih relax oleh Kulaiwi.
Kumpulan yang berasal dari Hawaii itu, mempertontonkan kehebatannya dalam membawa penonton ‘belayar’ dengan kesyahduan melodi dan iramanya.
Sejurus itu, dua kumpulan muzik tempatan, Mathew Ngau with Lan E Tuyang dan Buddha Beat ft Sinaran Collective, kembali tampil mengisi slot persembahan.
Irama muzik bertenaga diselitkan elemen santai nyata memukau ribuan penonton dengan beberapa lagu yang sememangnya bersesuaian dengan suasana malam di Kampung Budaya Sarawak (SCV).
Alunan muzik yang sarat dengan mesej tersendiri itu pada masa sama, menyerlahkan lagi kehebatan pemuzik tempatan yang sememangnya membuktikan mereka mampu berkongsi pentas yang sama dengan kumpulan muzik antarabangsa.
Keunikan festival muzik ini selepas itu diteruskan lagi dengan persembahan Rob Ruha dari New Zealand dan Kuntaw Mindanao dari Filipina.
Beberapa lagu yang mungkin asing di telinga penonton berjaya dipersembahkan dengan cemerlang, dalam memenuhi misi penganjuran RWMF yang mula bertapak sejak 2008 itu.
Ternyata, irama dan lagu yang dipersembahkan sepanjang malam kedua, memberi impak luar biasa kepada penganjuran edisi kali ke-28 ini dan pastinya persembahan malam penutup pada Ahad, akan dinanti-nantikan oleh penonton.
Menerusi edisi penganjurannya tahun lalu, RWMF berjaya merekodkan kehadiran terbesar sepanjang penganjurannya.
Ia selepas RWMF 2024 berjaya merekodkan kehadiran lebih 26,000 pengunjung, seterusnya mengatasi jumlah tertinggi pada 2019 dengan 23,000 orang.
#RWMF #Rainforest World Music Festival #Earth Wind & Fire Experience