[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
HIBURAN

Konsert K-POP Big 2 Super batal, penganjur pulang wang pembelian

Astro Awani 01/06/2025 | 04:10 MYT
Konsert K-POP Big 2 Super melibatkan persembahan artis popular Korea Selatan (G)I-DLE dan BamBam dibatalkan atas faktor yang tidak dapat dielakkan. -Facebook Live Universe Entertainment
KUALA LUMPUR: Konsert K-POP Big 2 Super melibatkan persembahan artis popular Korea Selatan (G)I-DLE dan BamBam yang dijadual berlangsung 14 Jun ini dibatalkan atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Ringkasan AI
  • Konsert K-POP Big 2 Super yang menampilkan (G)I-DLE dan BamBam pada 14 Jun 2025 dibatalkan atas faktor yang tidak dapat dielakkan serta pematuhan terhadap undang-undang dan garis panduan budaya tempatan.
  • Penganjur, Live Universe Entertainment, akan memulangkan bayaran tiket sepenuhnya melalui platform Ticket2U dan TikTok, dengan arahan lanjut dihantar kepada pembeli.
  • Peminat meluahkan kekecewaan atas pembatalan ini, termasuk mereka yang telah merancang perjalanan ke Kuala Lumpur, namun penganjur tetap komited untuk membawa hiburan bertaraf antarabangsa ke Malaysia pada masa akan datang.

Penganjur Live Universe Entertainment dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan teliti serta mengambil kira pematuhan kepada undang-undang tempatan juga garis panduan budaya.
"Kami kesal untuk memaklumkan bahawa Konsert Super K-POP Big 2 yang menampilkan (G)I-DLE & BamBam, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 14 Jun 2025 di Malaysia, telah dibatalkan disebabkan oleh keadaan yang tidak dapat dielakkan di luar kawalan kami.
"Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan yang teliti dan dengan penuh hormat terhadap undang-undang, peraturan, dan garis panduan budaya tempatan.
"Walaupun semua keperluan yang diperlukan telah dipenuhi, acara ini tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang.
"Kami memohon maaf dengan setulus hati kepada para peminat, artis, penaja, dan rakan kerjasama atas segala kesulitan yang timbul," tulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, Live Universe Entertainment memaklumkan wang pembelian tiket akan dikembalikan sepenuhnya melalui platform Ticket2U.
"Semua pembelian tiket akan dipulangkan sepenuhnya melalui Ticket2U. Arahan terperinci akan dihantar kepada pemegang tiket melalui emel.
"Bagi pembelian yang dibuat melalui TikTok, kami akan memulangkan bayaran terus ke akaun pembeli, kerana kami mempunyai akses kepada butiran transaksi yang berkaitan melalui sistem TikTok Shop kami.
"Pihak kami akan menghubungi pembeli untuk mengesahkan alamat e-mel dan maklumat akaun bank mereka bagi memastikan proses pemulangan wang berjalan lancar," katanya.
Penganjur turut menegaskan komitmen untuk terus menawarkan pengalaman hiburan bertaraf antarabangsa kepada peminat di Malaysia.
"Kami tetap komited untuk menyampaikan pengalaman hiburan yang luar biasa di Malaysia dan menghargai sokongan serta kefahaman anda yang berterusan.
"Terima kasih atas kepercayaan dan kerjasama anda," katanya.
Meninjau ruangan komen, sebahagian besar peminat jelas kecewa dengan berita pembatalan konsert. Difahamkan ada peminat yang sanggup terbang dari jauh untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan konsert tersebut.
#Konsert K-POP Big 2 Super #konsert batal #G I-DLE dan BamBam #Live Universe Entertainment #memulangkan bayaran tiket