Kumpulan rock lagenda Search, mengumumkan telah menghantar notis pembatalan konsert kepada penganjur Konsert Search 35 Tahun, AFJETS Sdn. Bhd.

Notis pembatalan tersebut telah dihantar melalui peguam Search, Yusmadi Yusoff daripada Fahda Nur & Yusmadi pada 19 Mei lalu.

"Pihak kami menggesa AFJETS untuk berhenti menggunakan nama Search dalam apa-apa bentuk promosi, penerbitan elektronik atau tidak elektronik dengan serta-merta.

"Pihak kami mendapati penganjur tidak bersikap profesional dengan menimbulkan isu Memorandum Persefahaman (MoU) yang dianggap boleh merosakkan reputasi kumpulan Search.

"Kenyataan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif AFJETS, Amrul Nizar Anuar kepada media juga mengelirukan dan boleh menyebabkan fitnah kepada pihak Search terutama dalam kenyataannya mengenai penyingkiran Yazid daripada terlibat dalam Konsert 35 Tahun tersebut," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Sri Hartamas pada petang Jumaat.


Sementara itu vokalis kumpulan Search, Amy menyatakan rasa terkilannya terhadap kegagalan pihak penganjur mengawal kemelut yang berlaku di antara Search dan pemain dram mereka, Yazit Ahmad.

"Pihak AFJETS sepatutnya menjelaskan hal ehwal pengurusan dan kewangan dikendalikan oleh mereka supaya salah faham di antara kami tidak timbul, bukan bersikap seperti 'mencurah minyak ke dalam api'.

"Kegagalan mereka melakukan demikian telah menyebabkan satu laporan polis dibuat terhadap kami sehingga dituduh pecah amanah," katanya.

Tambah Amy, memandangkan kolaborasi dengan AFJETS lebih banyak memberi mudarat terhadap nama baik Search, mereka mengambil keputusan untuk membatalkan MOU dengan pihak terbabit.

"Susah payah kami bina Search selama 35 tahun dan selepas mengambil kira implikasi buruk yang menjejaskan hubungan kami sesama ahli sehingga kami nyaris ke lokap, ekspetasi kami dan peminat, kami terpaksa membatalkan MOU demi maruah Search," tegasnya.

Bagaimanapun menurut Amy, Search akan cuba merealisasikan impian mereka untuk mengadakan konsert terakhir mereka.

"Saya tidak akan berputus asa kerana konsert ini impian kami. Konsert akan tetap diteruskan dan kami berbesar hari sekiranya ada pihak lain yang sudi menjadi penganjur konsert kami," katanya.