KUMPULAN rock popular, Search bakal mengadakan konsert bersejarah yang dinamakan Konsert Fantasia Bulan Salju pada 12 Ogos 2023 (Sabtu) bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Search yang dianggotai oleh Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal itu percaya peminat mereka masih dahagakan persembahan berskala besar seumpama konsert dan menariknya kali ini bakal diadakan di lokasi peranginan tanah tinggi Genting Highlands.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 80an sehinggalah ke hari ini, Search tidak putus-putus diberi kepercayaan oleh penganjur acara bertaraf antarabangsa untuk menghiburkan para peminat kami di rantau ini.

"Tanggungjawab ini sungguh berat, lebih-lebih pada masa kini di mana peminat muzik lebih sofistikated.

Namun demi legasi dan peminat-peminat samada yang lama mahupun dari generasi baru, kami berempat tidak jemu untuk terus berkarya.

"Setiap konsert kami mempunyai keunikan tersendiri serta berbeza dari konsert yang sebelumnya.

Konsert Fantasia Bulan Salju juga tidak terkecuali.

"Nama konsert ini diambil dari salah satu lagu paling popular Search iaitu ‘Fantasia Bulan Madu’ yang kami ubah menjadi Konsert Fantasia Bulan Salju," jelas Nasir.

Bukti keutuhan Search empat dekad!

Tambah vokalis utama Search, Amy, konsert tersebut juga sebagai bukti keutuhan Search selama lebih empat dekad.

"Konsert Fantasia Bulan Salju bukan konsert biasa yang diadakan sekadar untuk memenuhi permintaan.

"Ia adalah bukti bahawa setelah empat dekad Search lalui segala pahit manis serta cabaran hebat industri muzik, karier Search terus kukuh dan kami kekal relevan.

"Satu lagi keunikan Konsert Fantasia Bulan Salju pada Ogos ini adalah venue konsert itu sendiri.

"Bertempat di pusat pelancongan tanah tinggi negara yang amat popular iaitu Resorts World Genting.

"Peminat-peminat Search bukan sahaja dapat menonton konsert dalam kenyamanan cuaca dingin semula jadi malah Arena of Stars juga menjadi pilihan begitu ramai artis-artis dari serata dunia kerana ia mempunyai segala fasiliti bagi penganjuran konsert bertaraf antarabangsa.

"Search seringkali menekankan bahawa kejayaan sesuatu konsert itu bergantung kepada pelbagai faktor seperti keselesaan, kualiti peralatan bunyi dan visual, keselamatan, harga tiket yang berpatutan, gaya di atas pentas, dan lain-lain lagi," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIC Entertainment Group, Brian Lim berkata sebagai penganjur Konsert Fantasia Bulan Salju, sudah tiba masanya mereka mengenengahkan artis-artis tempatan untuk mengadakan konsert di Arena of Stars, Resorts World Genting.

"Kami amat berbangga dengan kolaborasi hebat tiga penjuru di antara Search , MIC Entertainment Group dan Arena of Stars ini.

"Arena of Stars bolehlah dikatakan sebagai jenama global dan Search sebagai sebuah kumpulan rock legenda terunggul adalah pilihan paling tepat pihak kami untuk mengadakan konsert solo artis tempatan pertama di venue tersebut.

"Saya percaya, dengan sokongan kuat dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi peminat-peminat Search terutamanya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, maka Konsert Fantasia Bulan Salju ini pasti dinobatkan sebagai konsert paling epik tahun ini justeru melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanah air terutama scene rock n roll," ujarnya.

MIC Entertainment Group berpengalaman luas dalam penganjuran konsert artis-artis bertaraf antarabangsa di dewan acara yang berprestij itu seperti Super Junior – D&E (Korea), Jeff Chang (Taiwan), Liza Wang (Hong Kong) dan Michael Learns to Rock (Denmark).

Tiket konsert dijual 16 Mei

Tiket Konsert Fantasia Bulan Salju akan mula dijual pada 16 Mei 2023 (Selasa) dari jam 12 tengah hari.

Harga tiket bermula dari RM128 sehinggalah RM388 (VIP Fantasia) tidak termasuk caj untuk pemprosesan.

Berita baik bagi kesemua pemegang tiket VIP, mereka berpeluang untuk menghadiri sesi Meet & Greet bersama Search, dan dapat membawa pulang poster yang ditandatangani sendiri oleh ahli kumpulan Search.

Layari laman sesawang rwgenting.com dan my.bookmyshow.com untuk maklumat lanjut berkenaan cara-cara pembelian tiket. -Gempak