Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
HIBURAN

Kris Dayanti dedah perancangan pernikahan Azriel Hermansyah, Sarah Menzel tahun depan

Astro Awani 18/08/2025 | 08:59 MYT
Kris Dayanti (foto) melahirkan rasa syukur atas kehidupan keluarganya yang semakin lengkap dan bahagia. -Gambar fail/Instagram@krisdayantilemos
PENYANYI terkenal Indonesia, Kris Dayanti, mendedahkan bahawa anak lelakinya, Azriel Hermansyah, bakal melangsungkan pernikahan dengan kekasihnya, Sarah Menzel, tahun depan.


Ringkasan AI
  • Azriel Hermansyah akan berkahwin dengan Sarah Menzel pada tahun 2026 selepas lima tahun menjalin hubungan.
  • Majlis lamaran berlangsung pada Jun 2024 dan mendapat restu keluarga kedua-dua pihak.
  • Persiapan perkahwinan sedang berjalan, dengan tahap persiapan kini sekitar 30 peratus menurut Ashanty.


Perkara itu dikongsikan Kris Dayanti ketika muncul dalam podcast YouTube Comic 8 Revolution bersama hos terkenal, Ivan Gunawan.

Dalam sesi temu bual tersebut, beliau menyatakan rasa syukur atas kehidupan keluarganya yang semakin lengkap dan bahagia.

“Kalau Azriel, insya-Allah tahun depan mahu nikah,” kata Kris Dayanti, yang kini lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga selepas tidak lagi aktif dalam politik.

Azriel, anak hasil perkahwinan Kris Dayanti dan Anang Hermansyah, telah melamar Sarah Menzel pada Jun 2024 bersempena ulang tahunnya yang ke-24.

Pasangan itu telah menjalin hubungan selama lima tahun dan sering berkongsi momen mesra di media sosial.

Majlis lamaran berlangsung dalam suasana mesra dengan kehadiran keluarga besar kedua-dua pihak.

Sarah menerima lamaran tersebut dengan penuh rasa terharu, menandakan kesediaan mereka untuk melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan.

Walaupun tarikh rasmi pernikahan belum diumumkan, keluarga besar Azriel dan Sarah telah memberikan restu.

Ashanty, ibu tiri Azriel, turut menyatakan bahawa persiapan perkahwinan sedang berjalan dan kini berada pada tahap 30 peratus.

Peminat keluarga Hermansyah menyambut berita ini dengan penuh kegembiraan, memandangkan Azriel dan Sarah sering menjadi perhatian kerana hubungan mereka yang stabil dan jauh dari kontroversi.










#KRIS DAYANTI #Azriel Hermansyah #Sarah Menzel #Persiapan perkahwinan