Kritikal digilis jentolak, Jeremy Renner akui sempat tulis 'surat terakhir'

Astro Awani
April 7, 2023 10:50 MYT
Bintang Avengers, Jeremy Renner berhadapan dengan detik ngeri apabila digilis jentolak seberat lebih 6,000 kilogram ketika sedang membersihkan salji. - Gambar fail/Marvel Studios
KUALA LUMPUR : Bintang Avengers, Jeremy Renner dalam satu temu bual bersama rancangan 'Good Morning Amerika' mendedahkan bahawa beliau sempat menulis 'pesanan terakhir' yang ditujukan kepada keluarga tersayang di saat kritikal di hospital
Dia sebelum ini, pada 1 Januari lalu terlibat dalam kemalangan ngeri digilis jentolak seberat lebih 6,000 kilogram ketika membantu membersihkan salji yang terlalu tebal di kediamannya, di Nevada.
Kemalangan itu menyebabkan pelakon layar perak itu mengalami patah lebih 30 tulang.
Kongsinya lagi, ketika itu, dia menyelamatkan anak saudaranya daripada menjadi mangsa dilanggar jentera berat itu.
"Sekiranya saya berada di sana keseorangan, saya pasti akan mati, saya pasti.
"Tetapi saya tidak keseorangan, ada anak saudara saya Alex," katanya.
Pendedahan itu dibuat oleh Renner dalam temu bual pertama beliau sejak dimasukkan ke hospital sejak kemalangan berkenaan.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan isi kandungan 'surat terakhir' yang dikhaskan buat keluarganya.
Renner sebelum ini dilaporkan menjalani dua kali pembedahan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Meskipun begitu, dia masih perlu menjalani banyak aktiviti fisioterapi bagi memastikan keadaan fizikalnya pulih seperti sedia kala.
#Jeremy Renner #Hollywood #Bintang Avengers #kemalangan