HIBURAN
Kumar Sanu, suara di sebalik lagu-lagu melodi 90-an kini di Malaysia untuk konsert pertama

Kumar Sanu yang terkenal dengan lagu melodi Bollywood era 90-an kini berada di Malaysia untuk konsert pertama beliau pada malam ini. - Gambar fail
BUAT julung kalinya, peminat penyanyi latar Bollywood, Kumar Sanu bakal disajikan dengan persembahan konsert, ‘Kumar Sanu- Live In Malaysia’ yang akan dibawa oleh beliau pada malam ini di Plenary Hall, KLCC Kuala Lumpur.
Ringkasan AI
- Kumar Sanu, legenda penyanyi latar Bollywood era 90-an, mengadakan konsert pertamanya di Malaysia bertajuk Kumar Sanu Live In Malaysia di Plenary Hall, KLCC, sebagai sebahagian daripada jelajah antarabangsa ke Singapura, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
- Konsert selama dua jam setengah itu menampilkan 24 lagu evergreen pilihan Kumar Sanu, disertai sesi terbuka bersama penonton, dianjurkan oleh Rocking Rickshaw dengan kerjasama Cinestar Events Australia dan Genira Creative Productions.
- Kumar Sanu menyatakan keterujaan terhadap kepelbagaian budaya Malaysia, memuji bakat tempatan seperti Kamal Chopra, dan menasihati artis baharu agar bersabar dalam mengejar kejayaan, sambil berkongsi kisah kerjayanya yang melonjak selepas filem Aashiqui.
Dalam satu pertemuan dengan media malam tadi, Kumar Sanu menyampaikan rasa keterujaan beliau untuk melangsungkan konsert pertama beliau di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian bangsa dan budaya.
“Saya gembira berada disini untuk konsert esok (hari ini). Saya menyimpan hanya yang terbaik untuk peminat saya yang terdiri daripada pelbagai bangsa,” katanya pada sidang media dan pertemuan dengan peminat.
Kumar Sanu, 67, terkenal dengan lagu balada romantik dan suara beliau telah membentuk satu gelombang dalam landskap muzik Bollywood era ‘90-an dengan karyanya masih terus bergema di hati peminat merentasi generasi.
Konsert malam ini dianjurkan oleh Rocking Rickshaw dengan kerjasama Cinestar Events Australia dan disokong oleh Genira Creative Productions.
Pengarah urusan Rocking Rickshaw, Anil Goswami, berkata malam muzik berprestij ini bertujuan untuk menghidupkan kembali kenangan indah dan detik-detik yang tidak dapat dilupakan di pentas.
“Konsert ini adalah satu sambutan melodi yang telah membentuk sebuah era dalam dunia muzik. Ia dibawa untuk membangkitkan kembali nostalgia zaman kegemilangan Bollywood, menyatukan peminat lama dan baharu dalam kecintaan mereka terhadap lagu-lagu ikonik Kumar Sanu,” kata Anil.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukannya yang telah bekerja keras dalam usaha promosi sehingga hampir 90 peratus tiket telah terjual.
Anil turut memaklumkan bahawa konsert selama dua jam setengah ini akan menampilkan 24 lagu evergreen Kumar Sanu yang dipilih dengan teliti, termasuk sesi terbuka bersama penonton.
Kumar Sanu yang mengakui Malaysia sebagai negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi turut menjawab soalan mengenai penyanyi berbakat dari Malaysia, Kamal Chopra, yang pernah berduet dengannya menerusi lagu “Chadni”.
Beliau memuji beliau bakat Kamal Chopra dan akui beliau bersedia memberi peluang kepada bakat-bakat baharu dalam industri muzik.
Beliau juga menasihati bakat baharu supaya tidak mengharapkan kejayaan dalam sekelip mata, sambil berkongsi mengenai detik perubahan dalam kerjayanya menerusi kejayaan lagunya dalam filem “Aashiqui”.
Beliau berkata walaupun selepas itu, beliau terus berusaha memperbaiki dirinya.
“Masa, bakat dan tuah, ketiga-tiga ini penting untuk berjaya,” katanya memberi nasihat.
Kumar Sanu (nama sebenar Kedarnath Bhattacharya) ialah penyanyi playback lagenda India yang suaranya telah merakam ribuan lagu dalam lebih belasan bahasa, termasuk Hindi, Bengali, Marathi, Tamil, Telugu, Malayalam, Gujarati, Punjabi, Urdu dan bahasa ibundanya, Bengali.
Antara pencapaian beliau termasuk lima kemenangan berturut-turut Filmfare Awards for Best Male Playback Singer (1991–1995) dan Guinness World Record untuk jumlah lagu terbanyak dirakam dalam sehari, iaitu 28 lagu.
Beliau juga telah menyanyikan lagu-lagu ikonik seperti “Mera Dil Bhi Kitna Pagal Hai” (Saajan), “Sochenge Tumhe Pyar” (Deewana), “Kuchh Na Kaho” (1942: A Love Story), “Tujhe Dekha Toh Yeh Jaana Sanam” (Dilwale Dulhania Le Jayenge), dan “Yeh Kaali Kaali Aankhen” (Baazigar).
Peminat boleh menjangkakan persembahan yang padat dengan lagu-lagu Bollywood terbaik beliau, kebanyakannya dalam bahasa Hindi, serta kemungkinan disertakan lagu-lagu popular terpilih daripada bahasa lain seperti Bengali dan Punjabi bagi meraikan legasi kepelbagaian bahasanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami