BERJAYA mengumpul RM11.4 juta hanya dalam masa tiga hari tayangan, filem Sheriff kini menjadi fenomena dan bualan di kalangan peminat filem tempatan.

Sehubungan itu, pihak Gempak sempat menemu bual pelakon utama Sheriff, Zul Ariffin dan bertanyakan tentang persiapan dalam menjayakan filem yang mendebarkan serta penuh dengan aksi ini.


Tak Boleh 'Manja' Masa Shooting


Menurut Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 38, berkongsi bahawa dirinya perlu mempersiapkan diri lebih daripada segi mental berbanding fizikal kerana babak-babak dalam filem tersebut yang memerlukan kekuatan minda.

“Saya kalau shoot filem terutamanya genre aksi, kita selalunya ada team lagak ngeri (stuntman) sebab mereka lebih arif dalam bahagian fizikal dan mereka lebih tahu dari segi isu keselamatan.

“Mereka banyak tolong, saya hanya persiapkan minda saya dan saya tahu bila kita shoot filem-filem yang aksi kita kena bersedia secara mental dan kita tahu kita tak boleh nak ‘manja’.

Shooting ni tak boleh ‘manja’ sebenarnya, kita shoot dalam jangka masa yang panjang dan ada pelbagai babak,” kongsinya.


Teruja Terhadap Penerimaan Orang Ramai

Bercerita lebih lanjut tentang harapan terhadap filem Sheriff, Zul tidak menafikan dirinya berasa teruja dan gembira apabila sedutan daripada filem berkenaan diterima baik oleh warganet.

“Alhamdulillah saya teruja, saya tengok komen-komen daripada orang ramai dekat media sosial pun memberangsangkan dan ‘menakutkan’.

“Saya suka penonton teruja dan saya hargai sangat perkara itu. Bila mereka teruja, saya pula nervous.

“Saya bukannya nervous cerita ni tak meletup, saya yakin cerita ni akan menghiburkan, benda tu nervous yang sihat dan bukannya nervous yang negatif,” ujarnya.

Sekadar info, Sheriff telah ditayangkan di pawagam pada 18 April 2024.

Filem tersebut membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Syafiq Kyle, Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan. -Gempak