HIBURAN
Kumpulan 4U2C ambil serius isu hak cipta lagu, bincang dengan MACP
Datuk AC Mizal (tengah) memberikan penjelasan tentang status konsert 4U2C pada 15 September nanti susulan terpalit isu hak cipta lagu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kumpulan hip hop popular era 1990-an 4U2C mengambil serius dan sama sekali tidak memandang ringan isu hak cipta lagu berkaitan penganjuran konsert mereka pada 15 September nanti.
Ringkasan AI
- Kumpulan 4U2C menegaskan mereka serius menghormati hak cipta lagu untuk konsert yang dijadual pada 15 September ini, dengan mendapatkan nasihat Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
- Datuk AC Mizal berkata 4U2C akan menyelesaikan isu hak cipta secara profesional dan menegaskan bahawa semua penggunaan lagu akan mematuhi peraturan MACP.
- Sebelum ini, penerbit Man Senoi dan isterinya, Mama Rap, tidak berpuas hati kerana tidak dimaklumkan tentang konsert tersebut, mendakwa mereka mempunyai hak penuh ke atas lagu 4U2C.
Ketuanya, Datuk AC Mizal berkata, panduan dan nasihat sudah diambil menerusi perjumpaan dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) supaya undang-undang muzik Malaysia sentiasa dihormati.
AC Mizal menegaskan, 4U2C akan mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan isu hak cipta berkenaan secara profesional.
"Kita bagi lagu kepada MACP untuk diperdagangkan, jadi sesiapa yang menggunakan lagu itu perlu membayar kepada MACP.
"Lagi satu, saya belum tahu lagi lagu apa yang saya nak nyanyi waktu konsert itu, kalau saya nyanyi lagu Backstreet Boys, yang tak ada kena mengena dengan lagu dia, tak ke malu dia?
"Itulah tugas MACP, ini memang jatuh di bawah perlesenan," ujar AC Mizal dalam satu sidang media pada Rabu.
Sebelum ini timbul isu berikutan penerbit, Man Senoi serta isterinya, Mama Rap menyuarakan ketidakpuasan hati kerana tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert itu.
Mereka mendakwa mempunyai hak penuh ke atas ciptaan lagu-lagu kumpulan 4U2C.