ENTERTAINMENT
Lady Gaga gegarkan Pantai Copacabana dengan konsert percuma untuk 2.1 juta penonton

Bintang pop terkenal Amerika Syarikat, Lady Gaga menghiburkan lebih 2.1 juta penonton dalam konsert percuma di Pantai Copacabana Rio de Janeiro pada Sabtu malam. - Foto AP/Silvia Izquierdo
RIO DE JANEIRO: Bintang pop terkenal Amerika Syarikat, Lady Gaga menghiburkan lebih 2.1 juta penonton dalam konsert percuma di Pantai Copacabana Rio de Janeiro pada Sabtu malam, menurut pentadbiran bandar raya itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Saya amat berbesar hati berada di sini malam ini. Hati saya penuh dengan rasa bahagia, bangga dan syukur yang mendalam.
"Terima kasih, Brazil. Saya sayang kamu selamanya!" kata penyanyi berusia 39 tahun itu dari pentas yang dihias menyerupai sebuah balkoni, lengkap dengan bendera Brazil.
Konsert itu diumumkan sebagai persembahan terbesar dalam kerjayanya setakat ini.Persembahan selama kira-kira dua jam itu adalah sebahagian daripada siri acara "Todo Mundo no Rio" satu inisiatif pentadbiran bandar untuk membawa artis antarabangsa ke kota berkenaan.
Lady Gaga sebelum ini pernah membatalkan kemunculan di festival muzik Rock in Rio pada 2017 atas sebab kesihatan.
Beliau berkata rakyat Brazil telah menanti lebih sedekad sejak persembahan terakhirnya di negara itu, dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik kali ini.
Seawal malam sebelum konsert, peminat mula membanjiri Copacabana untuk mendapatkan tempat terbaik.
Lebih 4,800 anggota polis ditugaskan bagi mengawal keselamatan.
Menurut pihak berkuasa, konsert itu menarik kira-kira 500,000 pelancong ke Rio - lebih dua kali ganda daripada jangkaan - dan dijangka menjana pendapatan sebanyak 600 juta reais (US$106 juta) untuk bandar raya itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami