Perbincangan berhubung kebenaran untuk syarikat produksi dan penggambaran untuk terus beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sewajarnya dilakukan dalam tempoh terdekat agar perancangan awal boleh diatur.

Pandangan itu disuarakan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Mohd Rosli yang berpendapat adalah lebih baik jika kata putus mengenai perkara itu dapat dicapai segera bagi memudahkan urusan semua pihak produksi termasuk urusan menyusun atur kru produksi dapat dilakukan.

“Saya fikir pihak kementerian boleh bincang dengan kami sekarang.

"Sebab bila lulus, kita perlu merancang. Penerbitan ini bukan hari ni cakap, malam ni boleh buat penggambaran. Hari ni cakap, esok buat penggambaran. Tidak.

"Bermakna kita bincang sekarang dapatkan ketetapan itu supaya kita produksi boleh rancang. Kita boleh buat kita punya aliran tunai, jadual, perancangan semuanya, ini perlu dibuat sekarang, kepada semua, saya bukan cakap (produksi) drama sahaja.

"Semua, penerbit dokumentari, penerbit iklan, mereka juga perlu merancang untuk menjalankan penggambaran semula. Harap dapat bincang sebelum raya," ujarnya.

Pandangan itu dilontarkan menerusi Forum Pembukaan Sektor Penerbitan Kreatif: No One Left Behind? Yang disiarkan secara langsung di Facebook Malaysian Freelance Production Crew – TV/Film/Video hari ini.

Turut senada, Pengarah Eksekutif Persatuan Dokumentari Malaysia (MyDocs), Lina Teoh yang mahu kerajaan memberi peluang kepada kru produksi melakukan penggambaran dengan mengikut arahan ditetapkan.

“Saya rasa perbincangan itu perlu dilakukan segera sebab kita boleh berbincang segala aspek apa yang tidak faham, apa yang perlu difahami tentang penggambaran.

"Kami faham kami tidak boleh berkumpul dengan jumlah yang ramai, tetapi sekurang-kurangnya bagi peluang kami bermula dengan jumlah yang kecil, baru tahu apa yang boleh diuruskan atau tidak,” katanya.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha pula menegaskan, sebagai golongan profesional, pihaknya boleh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, asalkan penggambaran boleh dimulakan.

“Pastikan penjarakan sosial, itu kami faham.

"Jadi semua amalkan arahan itu, kami boleh ikut penjarakkan sosial, kami cuma minta izin.

"Banyak premis yang sudah boleh beroperasi. Macam perniagaan lain pun ikut juga. Kami bertanggungajwab, kami tahu bagaimana hendak jaga penjarakan sosial. Itu apa yang kami nyatakan dalam surat kami. Kami akan ikut semua SOP,” kata Pansha.

Selain itu katanya kini ramai orang mula ke pusat membeli-belah dan ke tempat lain, dan tiada salahnya jika penggambaran juga boleh dibenarkan dimulakan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya sebelum itu memaklumkan, kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan kegiatan penggambaran diteruskan semula ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Kerajaan katanya masih memerlukan masa untuk mempertimbang setiap aspek dalam kegiatan penggambaran, antaranya berkenaan penjarakan sosial ketika penggambaran.