Legasi srikandi Tun Fatimah diangkat ke layar digital

Astro Awani
September 13, 2022 02:00 MYT
Naskhah 'Tun Fatimah: The Rebel Queen' diterbitkan ke layar digital sebagai satu usaha bzBee Consult Sdn Bhd untuk mengangkat kegemilangan sejarah Melayu ke peringkat global.
KUALA LUMPUR: Menyedari sejarah silam kegemilangan negara perlu diketengahkan ke peringkat global, bzBee Consult Sdn Bhd, sebuah agensi komunikasi strategik bersepadu dan penciptaan kandungan, merintis usaha baharu dalam dunia penerbitan.
Dengan sokongan Geran DC3+ daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), bzBee berhasrat membawa naskhah srikandi Melayu, Tun Fatimah, ke layar digital.
Berdasarkan kajian dan penelitian mendalam, bzBee memberikan penekanan kepada adat, kesopanan dan nilai masa lampau yang kaya melalui kisah-kisah srikandi, wira, warisan dan sejarah Malaysia dalam projek penerbitan 'Tun Fatimah: The Rebel Queen' ke layar digital,
Dalam karya itu kelak, kata bzBee, ketangkasan tokoh penting dalam meneruskan legasi Melaka selepas pencerobohan Portugis pada awal abad ke-16 itu akan menjadi teras penceritaan.
Menurut pengasas dan Pengarah Urusan bzBee, Prof Mohd Said Bani CM Din, adalah menjadi aspirasi syarikat berkenaan mengetengahkan kisah legenda ke persada antarabangsa.
Katanya, sudah sampai masanya untuk Malaysia mempamerkan pelbagai kisah hikayat tempatan untuk ditonton masyarakat dunia
“Tun Fatimah: The Rebel Queen adalah penceritaan penting untuk memberi kesedaran serta memelihara warisan hikayat,” kata Mohd Said Bani dalam kenyataan media yang dikeluarkan.
Menurut beliau, naskhah berkenaan diadaptasi dari novel ‘Kirana - Dream After The Rose’ yang dihasilkan Ketua Pegawai Operasi bzBee, Ninot Aziz.
Bertitik tolak daripada novel berkenaan, bzBee, kata Mohd Said Bani, mengambil pendekatan berlainan dalam menceritakan kisah Tun Fatimah, Ratu Melaka terakhir pada abad ke-16, dan Melaka hari ini, selain menghasilkan filem ‘pecah panggung’.
Sementara itu, Ninot berkata, naskhah Tun Fatimah: The Rebel Queen memperkasa seorang tokoh wanita yang tabah dalam sejarah Malaysia dan menonjolkan nilai, budaya dan warisan Melaka pada abad ke-16.
“Sebagai pencerita, peluang untuk menerokai bidang digital dalam bentuk imej janaan komputer (CGI) merupakan pengalaman yang amat unik.
“Hikayat, legenda dan cerita rakyat menjadi penyimpan khazanah pelbagai ilmu yang terdiri daripada tadbir urus, protokol, diplomasi, seni bina, pembinaan kapal, persenjataan dan tekstil kepada amalan perubatan, kesusasteraan, hiburan, muzik, tarian, kebijaksanaan dan pemikiran kreatif – bukti bahawa masyarakat lama kita mempunyai idea dan kreativiti berkonsepkan ilmiah yang tinggi,” kata Ninot.
Mohd Said Bani bersama Azlina Merican sebagai Penerbit Eksekutif dan Ninot, menggarap idea ini selama lebih tiga tahun sebagai sebahagian daripada usaha, cinta dan kepercayaan bzBee terhadap kepentingan budaya dan warisan.
Kata Mohd Said Bani, rancangan ini akhirnya tercapai dengan sokongan geran daripada MDEC.
Filem pendek Tun Fatimah: The Rebel Queen adalah hasil kerjasama bzBee bersama Nur Hussein dari Langit Terang Productions.
Karya itu akan diterajui sutradara ternama, Bade Hj Azmi sementara skrip adalah hasil gabungan kreativiti Mohd Said Bani, Ninot dan penulis skrip, Nadia Khan yang memperhalusi keindahan bahasa Melayu pada abad ke-16.
“Komponen unik dalam penceritaan filem ini ialah penggunaan CGI untuk gambaran idealistik dunia Melaka abad ke-16.
"Geran DC3+ yang dianugerahkan oleh MDEC menggalakkan penciptaan kandungan digital dan memainkan peranan penting dalam menyokong penggunaan CGI dalam penerbitan filem,” jelas Mohd Said Bani.
Beliau turut memberitahu, artis digital Walid Muhamad dan artis 3D, Faizal Rahmat, bertanggungjawab membina konsep seni filem ini.
Katanya, penggunaan CGI mencipta pengalaman yang mengasyikkan untuk penonton selain membawa khalayak kembali ke Melaka pada abad ke-16.
Pelakon utama filem ini ialah Yna Rose Noah yang memegang watak sebagai Tun Fatimah, yang baru-baru ini memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Antarabangsa Eropah Timur untuk watak Kirana dalam filem 'Showtime 1958'.
Sementara itu, barisan pelakon lain ialah Naim Shamsol sebagai Nadim, Niezam Zaidi (Sultan Mahmud Shah) dan Jimmy Leong (Uncle Wong).
Naskhah ini juga akan disokong oleh penataan muzik daripada Taja Mustapha.
Harapan Mohd Said Bani, penerbitan karya Tun Fatimah: The Rebel Queen akan menggalakkan penghayatan masyarakat yang lebih mendalam terhadap hikayat, dengan menggunakan kandungan digital, untuk mencipta dunia zaman silam.
#Tun Fatimah The Rebel Queen #srikandi Tun Fatimah #filem pendek #bzBee Consult Sdn Bhd