HIBURAN

Lil Jon dan ibu luah rasa hancur hati susulan kematian anak

Astro Awani 06/02/2026 | 23:45 MYT
Smith disifatkan sebagai seorang anak muda yang amat berbakat; penerbit muzik, artis dan jurutera, serta graduan New York University. - Foto Facebook/DJ Young Slade
ATLANTA: Artis pemenang Anugerah Grammy, Lil Jon, yang terkenal menerusi lagu 'Yeah!' dan 'Turn Down For What', berkata beliau dan ibu kepada mendiang, Nicole Smith, berasa “amat hancur hati”, menurut satu kenyataan kepada BBC News.

“Nathan adalah manusia paling baik yang pernah anda temui. Dia sangat penyayang, bertimbang rasa, sopan, penuh semangat dan berhati mulia,” kata Lil Jon dalam kenyataan itu.

“Kami menyayangi Nathan sepenuh hati dan amat berbangga dengannya. Dia disayangi dan dihargai, dan dalam detik-detik terakhir kami bersama, kami berasa lega kerana sempat menyatakan perasaan itu kepadanya,” katanya lagi.

Pihak polis memaklumkan mereka menerima laporan kehilangan Smith pada pagi Selasa selepas lelaki berusia 27 tahun itu meninggalkan rumahnya dalam keadaan yang disifatkan sebagai “luar biasa”.

Poster orang hilang yang dikeluarkan pihak berkuasa menyatakan Smith keluar dari rumah dengan berjalan kaki dan “mungkin berada dalam keadaan keliru serta memerlukan bantuan”.

Keluarga dan rakan-rakan menyatakan kebimbangan terhadap keselamatannya.

Mayat Smith ditemui di sebuah kolam pada pagi Jumaat, tidak jauh dari kediamannya di Milton, kira-kira 48 kilometer di utara Atlanta, bandar di mana Lil Jon membina kerjaya muziknya.

Lil Jon dan Smith sering dilihat bersama, termasuk tahun lalu apabila mereka bertanding dalam satu episod rancangan televisyen 'Family Feud'.

“Dia seorang anak muda yang amat berbakat; penerbit muzik, artis dan jurutera, serta graduan New York University,” kata Lil Jon.

Polis berkata tiada maklumat lanjut akan didedahkan sehingga pemeriksa perubatan dapat menentukan punca dan cara kematian.






#Lil Jon #Nathan Smith #meninggal dunia #kolam