HIBURAN

Lisa Blackpink akan mulakan pengambaran di Kota Tua Jakarta pada Februari

Astro Awani 30/01/2026 | 11:45 MYT
Lisa Blackpink dijangka menjalani penggambaran filem Tygo di Jakarta selepas sesi sebelumnya di Bandung. - Gambar media sosial.
KUALA LUMPUR: Penyanyi K-Pop terkenal Lisa Blackpink atau Lalisa Manobal bakal mengadakan pengambaran filem Tygo di Jakarta pada Februari.

Ketua Unit Pengelola Kota Tua Jakarta Denny Aputra mengesahkan perkara tersebut kepada media tempatan Kompas.com tentang pengambaran yang akan berlangsung di kawasan pekan lama daerah Taman Sari Jakarta Barat.

“Jadual pengambaran (Lisa) sudah tersedia namun masih dalam proses pengesahan, difahamkan akan berlangsung pada Februari,” katanya kepada pemberita di Jakarta pada Khamis.

Antara lokasi yang dipilih di Kota Tua Jakarta ialah bangunan era kolonial penjajahan Belanda iaitu menara Jasindo, namun beberapa premis lain turut terlibat untuk lokasi pengambaran.

Menurut Denny, lokasi tersebut dipilih sebagai lokasi penggambaran adalah sebahagian daripada program Filming in Jakarta, iaitu sebuah inisiatif yang dilancarkan oleh Timbalan Gabenor Jakarta, Rano Karno.

Program itu juga membolehkan syarikat penerbitan memperoleh kebenaran penggambaran di kawasan Kota Tua Jakarta tanpa melalui proses yang panjang.

Cukup sekadar membayar yuran penggambaran di Kota Tua Jakarta mengikut peraturan yang ditetap, kru dan pelakon filem boleh menggunakan kawasan pelancongan ini khusus untuk tujuan penggambaran, ujar Denny.

“Seperti pengambaran di Hollywood iaitu dengan membayar tarif sebanyak 1 juta rupiah (RM250) maka pengambaran boleh dilakukan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Lisa telah memulakan pengambaran di daerah Jawa Barat bersama barisan pelakon yang lain sejak 8 Disember lalu.

Antara yang membintangi filem keluaran Netflix itu ialah Ma Dong Seok dan Lee Jin Wook.




#Netflix #BLACKPINK #yuran penggambaran #barisan pelakon