PENYANYI dan penggubah lagu Lisa Marie Presley meninggal dunia selepas diserang sakit jantung pada Khamis.

Anak perempuan kepada legenda rock & roll Elvis Presley dan pelakon Priscilla Presley meninggal dunia pada usia 54 tahun.

"Dengan berat hati, saya berkongsi khabar menyedihkan bahawa anak perempuan saya Lisa Marie telah meninggalkan kami," tulis Priscilla dalam satu kenyataan kepada People pada petang Khamis.

"Mendiang wanita yang tabah dan penyayang serta paling bersemangat pernah saya kenali.

"Kami mohon diberikan privasi ketika kami cuba menerima takdir kehilangan ini.

"Terima kasih atas kasih sayang dan doa anda," tulis Priscilla.

Terdahulu Lisa Marie dikejarkan ke hospital selepas disyaki mengalami serangan jantung.

Sumber memaklumkan pasukan paramedik memberi bantuan pernafasan kepada Lisa Marie pada Khamis di rumahnya di Calabasas sebelum dia dikejarkan ke hospital.

BACA: Lisa Marie Presley alami serangan jantung, dikejarkan ke hospital

Penyanyi dan penulis lagu berusia 54 tahun itu mempunyai empat anak, termasuk pelakon Riley Keough.

Lisa Marie memiliki dan mengendalikan operasi Elvis Presley Enterprises sehingga tahun 2005, apabila dia menjual semua perniagaan itu.

Lisa Marie ialah pemilik Graceland, hartanah Elvis di Memphis yang terkenal.