Majlis tidak senonoh: Safiey Ilyas mohon maaf, janji nasihatkan teman LGBT

Gempak
Julai 18, 2018 06:42 MYT
Safiey berkata, dia menerima segala teguran dengan hati yang terbuka dan akan berusaha untuk menasihati teman-teman rapat yang dilihat melampaui batas untuk berubah ke arah kebaikan. - Foto: IG Safiey Ilyas
USAHAWAN kosmetik, Safiey Ilyas tampil membuat permohonan maaf selepas dikecam netizen ekoran video yang menampilkan acara tidak senonoh di majlis rumah terbukanya baru-baru ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG) , Safiey telah memohon maaf kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, terutama pengikut laman sosialnya yang beragama Islam dan seluruh rakyat Malaysia.
Safiey atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias turut berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya yang mengganggu sensitiviti masyarakat dan mencemarkan agama Islam.
Safiey berkata, dia menerima segala teguran dengan hati yang terbuka dan akan berusaha untuk menasihati teman-teman rapat yang dilihat melampaui batas untuk berubah ke arah kebaikan.
Jelasnya, nasihat itu tidak hanya khusus kepada rakan-rakannya daripada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semata-mata, bahkan melibatkan teman-temannya dalam kalangan selebriti wanita dan lelaki.
Video berkenaan dirakam ketika majlis pelancaran produk jenama milik usahawan itu, yang menampilkan seorang penyanyi ‘wanita’ yang berkelakuan tidak sopan kepada seorang tetamu lelaki, tular sekaligus menerima kritikan netizen. - Teks: Syafiqah Jalal
#agama #gay #Instagram #laman sosial #LGBT #Malaysia #Mohd Saifuddin Ilias #rakyat Malaysia #Safiey Ilyas #usahawan #usahawan kosmetik