HIBURAN

“Mak pergi dengan satu nafas yang tenang, dia tersenyum…” - Anuar Zain sebak

Gempak 25/12/2025 | 06:01 MYT
Menurut Anuar ibunya meninggal dunia dalam keadaan tenang dan arwah juga kelihatan tersenyum. - Gempak
PENYANYI, Anuar Zain berkongsi detik terakhir bersama arwah ibunya, Allahyarham Robiah Abdul, yang meninggal dunia selepas setahun menghidap kanser hati.


Ringkasan AI
  • Anuar Zain berkongsi momen terakhir bersama arwah ibunya, Robiah Abdul, yang meninggal dunia setahun selepas menghidap kanser hati; ibunya meninggal dalam keadaan tenang dan tersenyum.
  • Pemergian ibunya memberi satu pengalaman yang menyentuh hati, dengan Anuar merasakan keindahan dan ketenangan dalam proses pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam.
  • Anuar menceritakan bahawa kesihatan ibunya mula merosot selepas pemergian suaminya empat bulan lalu, menunjukkan bahawa setiap peristiwa dalam kehidupan mempunyai hikmah yang telah ditentukan.


Menurut Anuar atau Shahrul Anuar Zain, 55, ibunya meninggal dunia dalam keadaan tenang dan arwah juga kelihatan tersenyum.

“Mak meninggal dunia dengan satu nafas yang tenang, cepat dan tanpa kesakitan. Dia tersenyum.

“Di hospital kami nampak senyumannya, dan apabila dibawa pulang ke rumah, senyumannya semakin lebar. Saya tidak pernah melihat jenazah yang tersenyum sehingga nampak giginya.

“Saya rasa mak sudah benar-benar reda. Kami selalu bisikkan kepadanya supaya tidak risau kerana anak-anak dan cucu-cucu semuanya dalam keadaan baik. Kami minta mak bertenang sahaja,” jelasnya.

Anuar berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pengebumian arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam pada pagi Khamis.

Tambah Anuar, pemergian Allahyarham ibunya memberi satu pengalaman yang sangat menyentuh hati.

“Semuanya indah dan tenang. Ramai terkejut melihat wajah mak yang cantik, tersenyum manis seperti sedang tidur.

“Sama seperti arwah abah dahulu, melihat mak begitu membuatkan kami rasa lega dan sangat bersyukur kepada Allah SWT.

“Kita perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Allah sentiasa menyayangi kita dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik,” ujarnya.

Bercerita mengenai kondisi ibunya sebelum ini, Anuar berkata pada awalnya menunjukkan tanda pemulihan, namun kesihatannya mula merosot selepas pemergian suaminya, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah, empat bulan lalu.

“Mak sudah setahun menghidap sakit. Selepas itu kami buat rawatan dan semuanya berjalan baik. Kemudian abah pula meninggal dunia. Selepas pemergian abah, kami nampak kesihatan mak mula merosot.

“Kami tanya keadaan mak, dia kata okay. Tetapi selepas itu dia mula sakit, batuk-batuk dan kelihatan semakin lemah.

“Keadaan itu berlarutan, jadi kami bawa mak ke hospital untuk pemeriksaan dan didapati ada pelbagai perkara.

“Sebenarnya perjalanan hidup mak memang sudah ditentukan begitu. Itu adalah sesuatu yang perlu dilaluinya dengan izin Allah.

“Setiap yang berlaku ada sebabnya dan hakikatnya, perjalanan itu sangat indah,” ujarnya.

Untuk rekod, Allahyarham Robiah Abdul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam kira-kira jam 11 pagi Khamis, disaksikan ahli keluarga terdekat dan beberapa kenalan rapat. -- Gempak






#Anuar Zain #ibu meninggal dunia #kongsi kenangan #Ziana Zain #Kanser hati