Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
HIBURAN

'Malam Terlarang' kutip RM10 juta, jadi filem seram tempatan terlaris 2025

Astro Awani 19/11/2025 | 08:39 MYT
Memasuki minggu ketiga tayangan, angka itu mengukuhkan kedudukan Malam Terlarang sebagai filem seram tempatan paling laris bagi tahun 2025.
KUALA LUMPUR: Filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang terus mencipta fenomena apabila meraih kutipan RM10 juta di pawagam seluruh negara sejak ditayangkan awal November lalu.

Memasuki minggu ketiga tayangan, angka itu mengukuhkan kedudukannya sebagai filem seram tempatan paling laris bagi tahun 2025.

Penerbit Eksekutifnya, Raja Jastina Raja Arshad dalam kenyataan pada Rabu menzahirkan penghargaan kepada penonton, pasukan produksi, pemasaran dan rakan media atas sokongan tidak berbelah bahagi.

“Kejayaan kutipan RM10 juta ini bukan sahaja hasil dedikasi seluruh pasukan produksi dan pemasaran, tetapi juga sokongan berterusan pihak media yang membantu mengangkat cerita ini ke khalayak lebih luas,” katanya.

Raja Jastina turut berterima kasih kepada rakan pempamer yang terus mempromosikan filem berkenaan sehingga mendapat perhatian penonton arus perdana.

Malam Terlarang lahir daripada idea asal Hazo Mahayuddin, Haris M. Nor, Ariff Zulkarnain dan Nazifdin Nasrudin, mengetengahkan tema gelap berkaitan obsesi terhadap ilmu hitam, konflik keluarga, psikologi manusia dan isu kemanusiaan.

Filem ini mengisahkan Mawar (Shasha Abedul), remaja 18 tahun dari Kampung Pasir Larung yang menyimpan cita-cita menjadi wartawan, namun impian itu tertangguh demi menjaga ibunya Sarimah (Datin Sofea Jane), sementara ayahnya Omar (Zul Ariffin) aktif dalam arena politik.

Konflik memuncak selepas kematian kakaknya, Safar (Aila Azizul), yang membuka lembaran gangguan mistik dan membawa Mawar menyelidiki punca sebenar di sebalik kejadian paranormal yang menghantuinya.

Barisan pelakon turut dibarisi Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee dan Sadiq M. Jamil.


#Astro Shaw #Malam Terlarang #filem #hiburan #kutipan tayangan