HIBURAN

‘Malam Terlarang’ raih kutipan RM4 juta untuk minggu pertama tayangan

Gempak 07/11/2025 | 04:00 MYT
Sebelum ini, Malam Terlarang mencatat kutipan pembukaan sebanyak RM3 juta hanya dalam beberapa hari tayangan, sekali gus membuktikan karya bergenre seram tempatan masih mendapat tempat di hati penonton.
FILEM seram terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, terus mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih kutipan RM4 juta selepas seminggu ditayangkan di pawagam seluruh negara dan Brunei.

Perkara itu diumumkan menerusi hantaran di Instagram rasmi Astro Shaw yang berkongsi pencapaian terbaharu filem arahan Labu atau Nurhanisham Muhammad itu.

Sebelum ini, Malam Terlarang mencatat kutipan pembukaan sebanyak RM3 juta hanya dalam beberapa hari tayangan, sekali gus membuktikan karya bergenre seram tempatan masih mendapat tempat di hati penonton.

Filem yang menampilkan gandingan pertama kali Zul Ariffin dan Datin Sofia Jane itu turut menerima pelbagai pujian daripada penonton di media sosial yang memuji kekuatan jalan cerita serta elemen seramnya yang dianggap ‘naik taraf’ berbanding filem tempatan lain.

Ada yang menyifatkan Malam Terlarang sebagai antara filem seram tempatan terbaik tahun ini dengan penceritaan padat, visual menarik dan lakonan mantap seluruh barisan pelakon.

Berlatar era 1980-an, filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Mawar yang diganggu pengalaman mistik selepas kematian kakaknya.

Selain Zul dan Sofia, Malam Terlarang turut dibintangi Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Haneesya Hanee, Amir Nafis, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.

Malam Terlarang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara dan Brunei. - Gempak



#Malam Terlarang #filem seram #Astro Shaw #Sofia Jane #Zul Ariffin