Sebelum ini, untuk menonton filem baharu anda harus menunggu filem tersebut ditayangkan di pawagam berdekatan anda.

Namun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Astro Shaw mengambil inisiatif untuk membawakan filem terbaharu arahan Mamat Khalid, Manap Karaoke secara terus ke kaca television anda.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, sejak PKP dijalankan tabiat menonton rakyat Malaysia telah banyak berubah.

"Banyak aktiviti di rumah dihabiskan dengan menonton, mereka mahukan filem-filem yang berkualiti dan segar.

"Oleh itu Astro sentiasa berusaha untuk membawakan kandungan terbaik buat penonton Astro sepanjang tempoh PKP ini," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah filem, Mamat Khalid berkata Manap Karaoke sangat menarik kerana ia merupakan sebuah filem komedi yang mengembalikan nostalgia lagu-lagu 90an.

"Keistimewaan filem ini bukan sahaja tertumpu kepada barisan pelakon dan jalan cerita malah filem ini juga mengembalikan nostalgia lagu-lagu 90an yang masih popular hingga saat ini," katanya.

.

Pada masa sama, Mamat turut menyatakan filem ini khas buat semua peminat yang rindu untuk menonton karyanya di pawagam.

Filem ini dibarisi oleh Pekin Ibrahim, Mona Allen, Ropie, Imuda dan Joey Daud sebagai Manap.

.

Dengan hanya RM15 penonton boleh menonton filem Manap karaoke selama dua hari secara eksklusif di Astro First bermula 7 Mei.