Master Z: Michelle Yeoh kongsi pengalaman bersama pengarah Woo Ping

Bernama
Disember 26, 2018 00:30 MYT
MICHELLE: Ia berupa satu pengalaman yang hebat dapat bekerjasama semula, kami berkawan baik. --fotoBERNAAMA/Fail
Aktres antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh menyifatkan penampilan terbaharunya bersama pengarah filem seni mempertahankan diri yang terkenal dari Hong Kong, Yuen Woo Ping, dalam filem Master Z: The Ip Man Legacy sebagai pengalaman yang menyeronokkan.
Aktres kelahiran Ipoh itu berkata filem terakhir arahan Woo Ping yang dibintanginya ialah Crouching Tiger, Hidden Dragon: Sword of Destiny yang dihasilkan dua tahun lepas.
"Ia berupa satu pengalaman yang hebat dapat bekerjasama semula, kami berkawan baik, jadi memang menyeronokkan dapat bekerjasama dengan Woo Ping dan semua karyanya," kata Michelle kepada pemberita selepas menonton Master Z: The Ip Man Legacy di sebuah pawagam di sini pada Selasa.
Michelle berkata beliau kini menumpukan perhatian kepada filem akan datang yang dibintanginya Last Christmas arahan Paul Feig yang bakal ditayangkan di pawagam tahun depan.
Filem tersebut juga menampilkan bintang Crazy Rich Asians iaitu Henry Golding dan pelakon Games of Thrones, Emillia Clarke.
-- BERNAMA
#aktres #Crazy Rich Asian #filem #Hong Kong #ip man #Master Z the ip man legacy #Michelle Yeoh #pelakon #pengarah #yuen woo ping