KUMPULAN Metal Megadeth dalam satu kenyataan mengakui tidak sabar untuk bertemu peminat mereka di Malaysia.

Ketua kumpulan yang juga pengasas Megadeth, Dave Mustaine berkata Kuala Lumpur sentiasa menjadi tempat yang mereka idamkan untuk mengadakan konsert setiap kali menjelajah Asia.

“Impian kami tercapai apabila jenama muzik trash kami dibenarkan untuk dibawa ke Malaysia dan ini merupakan peluang yang tidak wajar dilepaskan,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Konsert pertama Megadeth di Malaysia itu akan diadakan pada 4 Mei ini di Stadium Negara bermula 8 malam.



Kensert jelajah Asia ini juga diadakan bersempena kemunculan album terbaharu mereka Dystopia selepas tiga tahun tanpa sebarang album.

Album ke-15 mereka itu turut mendapat pujian pengkritik muzik rock dan peminat yang menyifatkan Dystopia sebagai material paling berjaya daripada salah satu band yang paling sinonim dengan genre muzik tersebut.

Album tersebut mendapat pencalonan Anugerah Grammy untuk kategori Persembahan Metal Terbaik 2017.

Dengan jumlah 49,000 unit yang dijualdalam masa satu minggu, Dystopia turut menduduki kedudukan ketiga di carta Billboard Top 200 bersama-sama Adele dan Justin Bieber.

Ini juga adalah pencapaian tertinggi yang pernah diraih band ini sejak 1992 untuk Countdown to Extinction yang berjaya menduduki tempat kedua di dalam carta terbabit.

Dystopia turut disenaraikan sebagai salah satu daripada 20 Album Metal Terbaik 2016 oleh majalah Rolling Stone.

Selain daripada Dave Mustaine selaku vokalis dan pemain gitar utama, Megadeth turut dianggotai David Ellefson yang bermain bass, Kiko Loureiro sebagai gitaris dan juga pemukul dram Dirk Verbeuren.

Sepanjang tiga dekad lalu, Megadeth telah menjual lebih 50 juta album di seluruh dunia, menerima pelbagai pengiktirafan termasuk 12 pencalonan Grammy serta dianugerahkan dengan anugerah platinum untuk lima album berturut-turut.

Tiket untuk menyaksikan Megadeth Live di Malaysia berharga RM428 (Deth Pitt Zone, berdiri bebas), RM388 (VIP, tempat duduk bernombor), RM358 (Rock Zone, berdiri bebas), RM288 (CAT1, tempat duduk bernombor) dan RM198 (CAT2, tempat duduk bebas ) boleh didapati menerusi TicketChargeonline di www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian hotline + 603-92228811.

Peminat Megadeth boleh membeli tiket dari outlet tertentu seperti Speedy video, Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts, kaunter maklumat di The Mines shopping mall atau 1 Shamelin, Eden Ultimate (Kuantan) dan juga Blonde Brunette (Penang).

Tiket akan mula dijual pada 10 Feb 2017 mulai jam 11 pagi. Semua harga tiket adalah termasuk 6% GST tetapi tidak termasuk yuran pemprosesan RM4.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, sila layari @IMEAsia di Facebook, @IME_Asia di Instagram, @IMEProduction di Twitter, atau @IMEProductions di WeChat.