SEJAK Khamis 21 Februari yang lalu, rancak di media sosial netizen memperkatakan tentang betapa ‘best’ filem Misteri Dilaila.

Rata-rata, ulasan atau komen daripada penonton filem Misteri Dilaila itu sangat positif, dan mendapat rating memberangsangkan.

Misteri Dilaila adalah filem terbaharu bergenre seram ataupun thriller arahan sutradara muda yang berbakat besar, Syafiq Yusof.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini adalah Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Sasqia Dahuri dan Rosyam Nor.


Antara reaksi dan rating filem yang diberi netizen di Twitter selepas selesai menonton filem Misteri Dilaila.

Bagi peminat karya pemenang Anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Profima 2017 ini, pasti sudah tahu akan teknik ‘plot twist’ yang digunakan dengan sangat baik di dalam filem beliau seperti filem SAM: Saya Amat Mencintaimu.

Filem Misteri Dilaila ini juga menggunakan teknik yang sama tetapi kali ini ‘plot twist’ nya bersimpul-simpul dan ia sesuatu yang sangat menarik, umpama satu nafas baharu bagi industri perfileman tempatan.

Filem terbitan SKOP Production dan Astro Shaw ini sangat lain dari yang lain kerana pelbagai perkara positif boleh diperkatakan bagi filem ini dari segi skrip, teknik kamera, suntingan dan pelbagai.

Skrip dan lakonan yang mantap

Pujian harus diberikan kepada skrip filem ini kerana jalan ceritanya yang mudah difahami tetapi tetap membuatkan punggung penonton melekat di kerusi.

Kisah pasangan yang sudah berkahwin dan ingin berehat di homestay mereka di Bukit Fraser tetapi ada sesuatu yang terjadi kepada mereka di sana.

Bermula dari situ, konflik dan plot filem berkembang dengan baik walaupun boleh dikatakan skripnya seimbang tetapi ada unsur tipikal filem melayu. Filem ini juga boleh dikatakan bergerak dengan laju tetapi tidaklah sehingga meninggalkan ‘plot hole’ yang banyak.

Lakonan Zul Ariffin juga sangat baik dan berjaya menampakkan watak beliau sebagai seorang suami yang terperangkap didalam situasi yang beliau sendiri tidak tahu hujung dan pangkalnya. Elizabeth Tan, Sasqia Dahuri dan barisan pelakon yang lain juga sangat memberikan lakonan yang hebat dan berjaya memberi jiwa yang lebih kepada filem ini.

Teknik kamera, warna filem, sound mixing yang ‘on point’ !

Syafiq Yusof bijak mengawal kualiti filem beliau kerana semua elemen teknikal filem ini beliau jaga dengan sangat baik dan berjaya memberikan satu persembahan filem yang sangat baik dari segi teknikal. Jika anda bakal menjengah ke pawagam untuk menonton filem ini perhatikan dari segi permainan kamera, warna filem dan sebagainya. Ianya adalah kualiti yang di tahap yang baharu.

Tiada gegaran kamera meskipun adegan yang menggunakan drone shot, tiada permainan atau kamera yang mampu memeningkan kepala dan menyakitkan mata. Ianya sangat bersih dan sedap mata memandang. ‘Transition’ dan juga suntingan dari satu adegan ke adegan yang lain sangat unik, cantik dan menarik.

Sang pengarah filem hebat dalam merancang gerakan kamera dan angle kamera yang perlu dilakukan untuk menampakkan lagi ‘transition’ adegan itu menjadi. Tetapi harus diingatkan juga tidak semua adegan seharusnya menggunakan ‘transition’ itu kerana ia boleh membuatkan sesetengah penonton keliru dan berada didalam keadaan yang tidak faham.

Sound mixing dan bunyi seram yang ‘on point’ boleh penulis katakan bagi filem ini kerana biasanya filem melayu agak lemah dari segi sound mixing atau memberikan bunyi seram yang tidak menyakitkan telinga tetapi bagi filem ini ianya tidak berlaku. Perasaan seram itu berjaya sampai dengan bantuan bunyi latar belakang yang diadun dengan sangat baik.

PERHATIAN! Kepada anda yang belum lagi menonton filem ini, anda disarankan untuk menonton filem ini kerana ianya sangat berbaloi untuk ditonton dan untuk pengetahuan anda filem ini mempunyai dua versi pengakhiran cerita yang berbeza. Menarik bukan ?


Antara klu-klu yang diberikan sendiri oleh Syafiq Yusof untuk filem Misteri Dilaila ini. - Twitter @syafiqyusof

Mungkin anda menonton pada hari ini di anda akan menonton pengakhiran versi satu dan bila anda menonton di pawagam yang berlainan akan dapat menonton pengakhiran filem versi nombor dua. Tidak lupa juga jika ingin penulis tekankan bahawa ‘plot twist’ filem ini bersimpul-simpul dan sangat menarik untuk ditonton.

Secara keseluruhannya, filem ini boleh dimasukkan ke dalam carta ‘Filem Tempatan Wajib Tonton 2019’ kerana nilai dan kualiti filem ini adalah lain daripada yang lain. Walaupun ianya filem ini mempunyai sedikit kekurangan seperti dialog dan jumpscare yang agak cliche, logik perubahan waktu dan lain-lain tetapi ianya terlalu kecil dan tidak mempengaruhi kualiti dan perjalanan filem ini.

Ayuh sokong filem tempatan. Syabas Syafiq Yusof!