HIBURAN

Muzikal Sulalat’Us Salatin kembali dipentaskan

Astro Awani 19/10/2025 | 04:20 MYT
Selepas kejayaan pementasan pertama pada Disember tahun lalu di Melaka, teater Muzikal Sulalat’Us Salatin akan menemui semula khalayak pada 31 Oktober sehingga 2 November ini di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
SELEPAS kejayaan pementasan pertama pada Disember tahun lalu di Melaka, teater Muzikal Sulalat’Us Salatin akan menemui semula khalayak pada 31 Oktober sehingga 2 November ini di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Teater ini dipentaskan semula sebagai salah satu program pengisian budaya yang dipilih dalam kalendar Kepengerusian ASEAN 2025 yang mana Malaysia menjadi tuan rumah.

Menurut Penerbitnya, Siti Rohayah Atan, selain itu pementasan semula ini adalah berdasarkan permintaan khalayak yang tidak berkesempatan menyaksikannya pada pementasan sulung.

“Saya percaya langkah yang diambil ini akan memberi peluang lebih luas kepada khalayak terutamanya generasi muda untuk sama-sama menyaksikan pementasan tentang cerita bangsa Melayu ini.

“Cara ini adalah antara kaedah yang dianggap sesuai dalam usaha kita untuk memperkenalkan karya sastera agung kepada generasi muda supaya mereka lebih mengenali tentang sejarah bangsa,” katanya.

Pementasan yang diadakan secara kerjasama dengan DBP dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka itu dijangka akan ditonton 3,000 orang.

Teater berbentuk purbawara muzikal yang dipentaskan ini berkisarkan kemaharajaan maritim yang juga disebut sebagai pertuturan segala Raja-Raja atau Sejarah Melayu.

Teater ini menyentuh asal-usul kemaharajaan maritim yang bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah, Raja Suran yang mengembara ke alam lautan, Kisah Kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana.

Begitu juga kisah Tun Jana Khatib di Temasek, kebijaksanaan Hang Nadim sehingga Singapura dilanggar todak, kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, Melaka Zaman Gemilang hinggalah runtuhnya Empayar Melaka.

Teater ini menampilkan 11 buah lagu iaitu Raja Yang Bermula, Chulan ke Lautan, Bunga Singapura, Ewah Ewah Hiburkan Hati, Pintu Taat Sudah Tiada, Melaka Bumi Melayu, Melepaskan Kasih, Hubungan Diraja, Tujuh Syarat Ledang, Tetap Ada dan Bangkit Dari Luka."

Antara pelakon yang terlibat ialah Nabila Huda, Adam Lee, Zaidi Omar, Mubarak Majid, Zera Hariz, Rosli Rahman Ada, Raja Azrey, Alina Hassan, Ijat Ashari, Serra Kamal, Sahronizam Noor, A. Aris Kadir, Fahezul Azri, Aqil Wafi, Rasdi Daud, Pavy Raj dan ramai lagi.

Pementasan yang diterbitkan oleh aktivis teater terkenal, Siti Rohayah Attan ini juga menampilkan Zaifri Husin sebagai pengarah sementara skrip ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim, Ezee Klasik dan Siti Rohayah.

Pencinta-pencinta sastera dan teater tanah air berpeluang menonton pementasan yang diterbitkan oleh CTRA Production dan Persatuan Bintang Timur dengan membeli tiket-tiket berharga RM20, RM40 dan RM60.






#Muzikal Sulalat Us Salatin #teater muzikal #Dewan Bahasa dan Pustaka #Siti Rohayah Attan