'Nama saya tak ada Muhammad lah' - Sajat

Madiha Abdullah
Disember 20, 2018 15:29 MYT
Sajat nafi namanya mempunyai awalan Muhammad seperti yang dilaporkan media. - BERNAMA
"NAMA saya Sajat Kamaruzaman, tak ada Muhammad pun," itu pengakuan ahli perniagaan dan usahawan kosmetik Nur Sajat selepas kecoh laporan media berhubung nama penuhnya.
Memetik laporan portal mStar Online, Sajat memberitahu nama penuhnya dalam kad pengenalan tidak mempunyai awalan Muhammad atau Nur.
Nur Sajat hanya nama yang digunakannya di laman sosial.
Sajat juga enggan tunduk kepada kehendak orang ramai yang mahukan bukti nama penuhnya.
"Kenapa saya kena tunjuk kad pengenalan semata-mata nak puaskan hati mereka. Nanti orang salah guna, sekarang makin ramai penipu, jadi saya perlu lebih berwaspada.
"Kad pengenalan adalah dokumen pengenalan peribadi, kenapa kena tunjuk kepada orang ramai? Jadi, hormatilah privasi saya," katanya kepada portal tersebut.
Sajat pada Rabu didenda RM2,700 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.
BACA: Nur Sajat didenda RM2,700 gagal kemuka penyata GST
Dalam pertuduhan, nama Sajat ditulis sebagai Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, sekaligus menimbulkan perbalahan netizen.
#cukai #GST #kastam #laman sosial #mahkamah #Mahkamah Sesyen #Media #Nur Sajat #usahawan