PETALING JAYA: Astro Malaysia Holdings Bhd secara rasminya memperkenalkan pengalaman Astro serba baharu dengan membawakan perkhidmatan penstriman terkenal Netflix, sekali gus memberikan lebih nilai serta penjimatan dengan hanya dalam satu bil sahaja.

Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad berkata, inisiatif terbaharu itu dilaksanakan selaras arus perdana dan kehendak semasa pelanggan.

Menurut Azlin, ia turut direka khas untuk pelanggan menikmati program penstriman terkemuka dunia seperti Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, TVbAnywhere+ serta acara sukan berprestij dunia hanya dalam satu platform utama  dengan Ultra Box ­astro secara berperingkat bermula semalam dan menerusi Ulti Box dalam tempoh masa terdekat.

"Ia adalah satu perjalanan untuk kami untuk benar-benar memahami apa yang pelanggan mahukan dan ianya bukanlah sesuatu yang boleh dilaksanakan dalam sekelip mata. Jadi ini adalah sesuatu yang kami usahakan sejak 18 bulan yang lalu dan ini menjadi sesuatu penting untuk kami memperkenalkannya kini.

Ujar Azlin, pelanggan turut dijemput untuk mendaftar pakej jalur lebar dan nikmati akses Netflix secara komplimentari selama 3 bulan - Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad

"Kami tidak boleh menunggu lagi lebih lagi dengan pasaran yang telah berubah. Lebih-lebih lagi kini, keutamaan pengguna telah berubah dan kami benar-benar perlu memastikan mengikut arus perdana dengan mengetahui apa yang pelanggan mahukan daripada Astro.

"Seperti yang saya katakan, keselesaan, memudahkan, pilihan hebat dan fleksibiliti yang merangkumi segalanya dalam satu platform bersama Astro sebagai destinasi pilihan hiburan nombor satu,'' beliau.

Azlin berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran di Kompleks One Utama di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Astro, Euan Smith dan Naib Presiden Pembangunan Perniagaan, APAC, Netflix, Tony Zameczkowski.

Dalam masa sama, Azlin berkata, Astro sentiasa komited dalam memberikan lebih daripada apa yang diminta dan sedaya upaya memenuhi kehendak pelanggan setia dengan kandungan rancangan kegemaran mereka .

Seiring pelancaran pengalaman baharu itu, Azlin berkata, orang ramai juga sudah boleh mula melanggan pakej terbaharu ini bermula sekarang dengan penawaran hebat seperti Pek ‘Primary’, ‘Entertainment’, ‘Sports’, ‘Movies’, ‘Entertainment Plus’, Premium 1, 2, 3’ dan ‘Platinum’ yang disertakan bersama Netflix.