HIBURAN

Nicki Minaj dakwa sebagai ‘peminat nombor satu’ Donald Trump

Agensi 29/01/2026 | 00:00 MYT
Nicki Minaj (kiri) mengakui dirinya sebagai “peminat nombor satu Presiden Donald Trump”, sambil menegaskan sokongannya tidak akan berubah meskipun menerima kritikan. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Penyanyi rap terkenal Hollywood, Nicki Minaj mengakui dirinya sebagai “peminat nombor satu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump”, sambil menegaskan sokongannya tidak akan berubah meskipun menerima kritikan.

Minaj, 43, membuat kenyataan itu ketika berucap di sebuah sidang anjuran Jabatan Perbendaharaan di Washington pada Rabu bagi pelancaran inisiatif “Trump Accounts” untuk bayi yang baru lahir.

“Saya boleh katakan bahawa saya mungkin peminat nombor satu presiden,” katanya disambut sorakan hadirin.

“Dan itu tidak akan berubah.”

Menurut penyanyi kelahiran Queens, New York itu, kecaman serta rasa tidak senang daripada pengkritik tidak memberi kesan kepadanya.

“Kebencian dan apa juga yang diperkatakan orang, ia langsung tidak menjejaskan saya. Malah ia memberi lebih motivasi untuk menyokong beliau - dan ia akan mendorong kita semua menyokong beliau dengan lebih kuat,” ujarnya.

Minaj turut menegaskan bahawa mereka tidak akan membiarkan “kempen memburukkan” Trump berlaku tanpa balas.

“Kita tidak akan biarkan mereka membuli beliau. Serangan sedemikian tidak akan berjaya. Beliau memiliki sokongan yang kuat, dan Tuhan melindunginya,” katanya sebelum Trump sendiri tampil berucap.

Walaupun pada 2020 Minaj pernah menyatakan beliau tidak akan “menyertai gelombang Trump”, namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini artis itu semakin lantang menyokong Presiden tersebut.

Bulan lalu, Minaj membuat penampilan mengejut di Persidangan Tahunan Turning Point USA.

“Saya amat menghormati dan mengagumi Presiden kita,” katanya ketika itu.

“Beliau telah memberikan harapan kepada ramai orang bahawa kita masih boleh menewaskan pihak yang jahat, menang, dan melakukannya dengan bermaruah. Beliau berasal dari Queens, New York, sama seperti saya.”

Dalam ucapannya pada acara sama, Trump turut memuji Minaj, menyifatkannya sebagai “penyanyi rap wanita paling hebat dan paling berjaya dalam sejarah”.

Trump juga berterima kasih atas sumbangan Minaj yang menurutnya berjumlah “ratusan ribu dolar” kepada akaun Trump berkenaan.

“Saya rasa dia hebat,” kata Trump.

“Saya tidak mengenalinya sebelum ini, tetapi selama bertahun‑tahun saya mendengar bahawa dia merupakan penyokong tegar Trump. Dan dia menerima sedikit tekanan kerana komuniti beliau bukanlah peminat Trump.”

Dalam satu detik mencuri perhatian, Trump dilihat memegang tangan Minaj - yang memakai kuku palsu panjang berwarna cerah sebelum bergurau dengan hadirin: “Saya pun rasa nak simpan dan panjangkan kuku saya. Saya sukakan kuku itu!” - Agensi

#Nicki Minaj #peminat nombor satu #Donald Trump #Trump Accounts