[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
HIBURAN

Nicole Kidman, Keith Urban berpisah selepas 19 tahun berkahwin

Agensi 30/09/2025 | 01:30 MYT
Sejak kebelakangan ini, pasagan ini jarang berjumpa kerana sama ada sama ada Kidman sibuk dengan penggambaran atau Keith berada di jelajah konsert. - Gambar fail AP
LOS ANGELES: Pelakon terkenal Hollywood, Nicole Kidman, 58, dan pemuzik Keith Urban, 57, dilaporkan berpisah selepas hampir dua dekad melayari rumah tangga bersama.

Pasangan itu yang berkahwin pada Jun 2006 dikurniakan dua anak perempuan – Sunday Rose, 17, dan Faith Margaret, 14.

Menurut sumber kepada Daily Mail, Kidman terkejut dengan keputusan perpisahan tersebut selepas beberapa bulan hidup berjauhan kerana jadual kerja yang bertentangan.

“Keith jarang bertemu Nicole, sama ada dia sibuk dengan penggambaran atau Keith berada di jelajah konsert. Mereka pernah melalui hubungan penuh kasih sayang dan mungkin tidak akan bercerai secara rasmi, tetapi buat masa ini mereka seperti hidup dalam dunia berasingan,” kata sumber itu.

Kidman sebelum ini pernah berkahwin dengan bintang Hollywood, Tom Cruise dari 1990 hingga 2001 dan pasangan itu mengambil dua anak angkat sepanjang perkahwinan mereka.

Kali terakhir Kidman dan Urban muncul bersama di khalayak adalah pada Mei lalu ketika Anugerah Akademi Muzik Country, di mana mereka dilihat mesra di karpet merah.

Mereka juga dilihat menonton perlawanan bola sepak di Nashville pada Jun lalu.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Kidman berpusat di London untuk penggambaran sekuel Practical Magic dan menetap di sebuah rumah agam di Hampstead yang pernah dimiliki penyanyi Boy George.

Urban pula meneruskan jelajah konsert High and Alive di Amerika Syarikat dan Kanada sehingga Oktober ini.

Sumber majalah Woman’s Day berkata: “Mereka berusaha untuk berhubung setiap hari, tetapi sejak pemergian ibu Nicole September lalu, mereka semakin banyak menghabiskan masa berasingan. Kini Nicole semakin selesa dengan kehidupannya di London, sementara Keith sibuk di seberang benua.”

Julai lalu, Urban meninggalkan sebuah temu bual radio selepas ditanya mengenai adegan berani Kidman dalam beberapa filem terbaharunya.

Pada September 2024, Kidman pernah mengakui kepada E! News bahawa “tidak ada yang sempurna” apabila ditanya mengenai rumah tangganya.

Sementara itu, dalam wawancara bersama People awal 2024, Kidman masih menyifatkan Urban sebagai “cinta mendalam” yang memberi kekuatan untuknya terus berkarya. - Agensi


#nicole kidman #Keith Urban #Nicole Kidman bercerai #Tom Cruise