Nikmati puisi petang Ahad di Baca Puisi Lelucon

Irwan Muhammad Zain
Februari 26, 2022 09:11 MYT
Penganjur acara ini memaklumkan tempat sangat terhad untuk acara baca puisi yang sangat hebat ini. -Gambar ihsan Seven Men Writers Club
KETIKA semua mata tertumpu di selatan tanah air untuk pesta demokrasi yang membuka gelanggangnya pada Sabtu, satu acara baca puisi pula bakal berlangsung pada Ahad.
Acara "Baca Puisi Lelucon" anjuran Seven Men Writers Club dengan sokongan Persatuan Penulis Nasional (Pena) ini akan diadakan di sebuah kafe kecil di Petaling Jaya esok.
Jurucakap Seven Men Writers Club, Mohd Azalan Hussain memberitahu Astro AWANI, acara baca puisi ini akan diadakan di Biblio Cafe di Menara Mutiara Majestic di PJ Old Town.
"Tempat sangat terhad untuk acara baca puisi yang sangat hebat ini.
"Jadi saya berharap tidak ada siapa-siapa yang akan kecewa jika tidak dapat masuk ke Biblio Cafe untuk menikmati puisi di hari minggu.
"Kami cuma hadkan acara ini untuk tiga jam sahaja bermula jam 2 petang dan akan selesai jam 5 petang pada Ahad 27 Februari.
"Kenapa hanya tiga jam dan tempat yang kecil? Supaya ia memberikan kenangan yang paling indah bagi yang hadir dan kekesalan berpanjangan kepada yang tidak hadir," katanya.
Antara yang akan membaca sajak pada acara itu ialah Sabri Yunus, Pyanhabib, Sani Sudin, Ladin Nuawi, dan Rayza Mukmin.
Hadirin juga diminta melakukan ujian kendiri selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang acara berlangsung.
#Baca Puisi Lelucon #Biblio Cafe #Mohd Azalan Hussain #Seven Men Writers Club