Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
HIBURAN

Noor Kumalasari yakin Anita Sarawak tidak akan kembali

Gempak 16/11/2025 | 06:50 MYT
Menurut Noor, peluang merealisasikan impian itu tetap sangat tipis berdasarkan keputusan Anita yang sudah lama memilih untuk meninggalkan dunia hiburan. - Gempak
PRIMADONA, Noor Kumalasari hanya mampu mendoakan yang terbaik buat penganjur Konsert GenKRU The Finale: One More Time, Iman Tang yang memasang hasrat untuk membawa pulang kakaknya, Anita Sarawak bagi membuat kemunculan khas.


Ringkasan AI
  • Noor Kumalasari mendoakan yang terbaik bagi penganjur Konsert GenKRU The Finale: One More Time, Iman Tang, yang berhasrat membawa pulang kakaknya, Anita Sarawak, untuk kemunculan khas.
  • Noor mengesahkan peluang membawa pulang Anita untuk konsert KRU adalah sangat tipis, memandangkan Anita telah lama meninggalkan industri hiburan dan kini menjalani kehidupan tenang jauh dari dunia glamor.
  • Walaupun Iman Tang masih dalam rundingan untuk membawa Anita pulang bagi konsert, Noor menyatakan Anita lebih cenderung untuk menjalani kehidupan biasa sebagai suri rumah tangga, tanpa minat untuk kembali ke dunia glamor.


Menurut Noor, peluang merealisasikan impian itu tetap sangat tipis berdasarkan keputusan Anita yang sudah lama memilih untuk meninggalkan dunia hiburan.

“Saya doakan yang terbaik untuk penganjur konsert KRU. Sebab mengenali kakak saya, jika dia kata tidak mahu lagi kembali dalam industri, bermaksud memang dia tidak mahu.

“Saya rasa harapan untuk bawa Kak Nita balik Malaysia untuk menjayakan konsert KRU adalah sangat tipis. Saya tidak akan menyalahkan Kak Nita,” katanya kepada Gempak.

Noor juga menegaskan dia tidak menyalahkan Anita sekiranya diva tersebut kekal dengan pendirian untuk tidak muncul di Malaysia.

Tambah Noor lagi, Anita kini menjalani kehidupan tenang jauh dari dunia glamor. 

“Namun jika penganjur benar-benar berjaya bawa pulang Kak Nita untuk konsert KRU itu, penganjur itu memang sangat hebat. Tetapi jika Kak Nita kata ‘no’, bermaksud ‘no’.

“Dia sekarang mahu menjalani hidup yang biasa, macam kita orang-orang biasa ini. Dia tidak mahu lagi terlibat dalam dunia glamor. Dia hanya mahu menjadi suri rumah tangga.

“Dia sihat sahaja bersama keluarganya di sana. Saya pun sangat jarang berhubung dengan dia, sudah lama tidak berjumpa. Kami berbual pun setahun sekali sahaja, iaitu setiap hari raya,” tambahnya.

Terdahulu, Iman Tang memaklumkan pihaknya masih dalam rundingan untuk membawa pulang Anita bagi kemunculan istimewa pada Konsert GenKRU The Finale: One More Time yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil pada 22 November ini.








#Noor Kumalasari #Anita Sarawak #Konsert GenKRU The Finale #Iman Tang #terkini