Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
HIBURAN

Norman tampil perjelas KRU tidak pernah umum akan buat konsert di Pulau Pinang

Syaff Syukri 13/08/2025 | 10:29 MYT
Konsert GenKRU berlangsung selama empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil, KL pada Mei lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli KRU, Datuk Norman Abdul Halim tampil menjernihkan kekeliruan berhubung laporan media semalam yang mendakwa Konsert GenKRU di Pulau Pinang telah dibatalkan.

Menerusi penjelasan kepada Astro AWANI, Norman menegaskan pihaknya tidak pernah mengumumkan atau menjual tiket bagi Konsert GenKRU di Pulau Pinang, atau di mana-mana negeri lain selepas persembahan mereka di Axiata Arena, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

‘’Saya nak umumkan di sini KRU sebenarnya tidak pernah mengumumkan tentang kewujudan konsert tersebut ataupun melancarkan tiket konsert di Pulau Pinang mahupun di mana-mana negeri.

‘’Sebenarnya apa yang berlaku ialah kami mempunyai hasrat untuk membuat Konsert GenKRU di beberapa buah negeri. Namun, apabila kita lihat dari segi kajian teknikal dan juga apa yang boleh dibuat, kami merasakan hasrat itu yang sebenarnya dibatalkan bukan hasrat untuk mengadakan konserti di Pulau Pinang.

‘’(Ini) kerana kami percaya bahawa atas sebab-sebab teknikal apa yang kami persembahkan di Konsert GenKRU di Axiata Arena tidak boleh diulang semula mengikut apa yang kami harapkan,’’ jelasnya dalam satu rakaman eksklusif kepada Astro AWANI, pada Rabu.

Tambahnya, keputusan itu dibuat selepas pihak KRU mendapati konsep dan tahap produksi yang dipersembahkan di Axiata Arena tidak dapat direalisasikan sepenuhnya di lokasi (venue) lain.

Justeru, Norman berkata, Konsert GenKRU di Axiata Arena telah dirakam dan akan disiarkan pada masa akan datang sebagai hadiah kepada peminat yang tidak berkesempatan hadir.

‘’Kami percaya persembahan Konsert GenKRU di Axiata Arena patut diabadikan sebagai satu pengalaman yang unik.

‘’Kami tidak mahu mengecewakan peminat dengan persembahan yang tidak setanding atau menimbulkan perbandingan yang memudaratkan,’’ katanya.

Tambahnya, pihaknya kini sedang meneliti format dan kandungan persembahan untuk konsert di luar Kuala Lumpur, tetapi dengan jenama berbeza.

‘’Kami mahu pastikan peminat di luar ibu negara tetap mendapat persembahan berkualiti tinggi tanpa membuat mereka membandingkan dengan Axiata Arena,’’ jelasnya lagi.

Media pada Selasa melaporkan Konsert GenKRU di Pulau Pinang hujung bulan dibatalkan atas prinsip untuk menjaga kualiti dan impak mega dicipta siri konsert mereka di Kuala Lumpur sebelum ini, yang disifatkan sebagai satu penanda aras sangat tinggi.

Konsert GenKRU berlangsung selama empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil, KL pada Mei lalu





#Konsert GenKRU #Norman KRU #konsert di Pulau Pinang #Konsert di Axiata Arena