OlaBola The Musical pementasan teater terbaik di Malaysia - Tun Mahathir

Madiha Abdullah
Februari 28, 2019 01:32 MYT
Dr Mahathir bersama Tiara dan para pelakon OlaBola The Musical. - Instagram Tiara Jacquelina
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan teater OlaBola The Musical sebagai yang terbaik pernah dipentaskan di negara ini.
Malah, naskah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina itu disifatkan Dr Mahathir sebagai lebih baik daripada muzikal Miss Saigon, yang dikenali ramai sebagai antara pementasan teater paling berjaya di Broadway.
"Skrin di kiri dan kanan pentas membantu beri kesan, nampak realistik. Saya juga suka babak penggunaan helikopter.
"Saya pernah menyaksikan pementasan Miss Saigon, tetapi ini lebih baik," katanya yang meluangkan masa menonton OlaBola The Musical di Istana Budaya, pada Rabu.
Ketibaan beliau ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada jam 8.30 malam, disambut sorakan dan tepukan gemuruh penonton yang memenuhi Panggung Sari.
Kedua-duanya turut meluangkan masa bermesra dengan para pelakon serta menyertai sesi bergambar selepas tamat pementasan.
Musim kedua OlaBola The Musical akan dipentaskan sehingga Ahad ini.
#Istana Budaya #Miss Saigon #muzikal #olabola the musical #Perdana Menteri #teater #Tun Dr Mahathir Mohamad