[TERKINI] SARA RM100 untuk Warganegara 18 Tahun ke Atas: Tebus Guna MyKad – Baca Panduan Penuh Di Sini
HIBURAN

Ozzy Osbourne ada ‘hubungan istimewa’ dengan Aston Villa, kelab beri penghormatan

Agensi 23/07/2025 | 00:30 MYT
Peminat Aston Villa memberi penghormatan istimewa kepada legenda rock, Ozzy Osbourne, dengan mempamerkan kain rentang gergasi memaparkan wajah beliau sebelum perlawanan menentang Celtic pada Januari lalu.
LONDON: Kelab bola sepak Aston Villa menzahirkan rasa sedih atas pemergian legenda rock dunia, Ozzy Osbourne yang dianggap sebagai salah seorang penyokong paling terkenal mereka.

Kelab yang berpangkalan di Birmingham itu berkata, Osbourne, yang membesar di kawasan Aston, hanya beberapa kilometer dari Stadium Villa Park sentiasa menunjukkan hubungan yang erat dengan kelab dan komuniti asalnya.

“Kelab bola sepak Aston Villa amat sedih menerima berita pemergian bintang rock ternama dunia dan penyokong sejati kami, Ozzy Osbourne.

“Membesar di Aston, tidak jauh dari Villa Park, Ozzy sentiasa mempunyai ikatan istimewa dengan kelab dan komuniti yang melahirkannya.

“Seluruh warga Aston Villa mengucapkan takziah kepada isteri beliau, Sharon, ahli keluarga, sahabat handai serta jutaan peminatnya di seluruh dunia pada saat yang sukar ini,” kata kelab itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Sokongan Osbourne terhadap Aston Villa cukup jelas termasuk apabila gambarnya dipaparkan dalam skala gergasi di stadium semasa perlawanan Liga Juara-Juara menentang Celtic pada Januari lalu.

Ketika itu, kelab menyatakan bahawa Osbourne adalah lambang asal-usul Aston Villa – menggabungkan dunia muzik rock metal dan bola sepak dalam satu figura ikonik.

Osbourne yang juga penyanyi utama kumpulan legenda, Black Sabbath dan ikon muzik heavy metal dunia menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun pada Selasa pagi.

Mendiang meninggal dunia hanya beberapa minggu selepas membuat persembahan terakhirnya di kampung halaman, Birmingham, United Kingdom.

Osbourne yang sinonim dengan gelaran “Prince of Darkness”, bukan sahaja dikenali kerana vokal dan persembahan dramatiknya – termasuk insiden menggigit kepala kelawar dan membaling daging mentah ke arah penonton – tetapi juga kisah silamnya yang penuh dengan ketagihan dadah dan alkohol. - Agensi




#Ozzy Osbourne meninggal dunia #Black Sabbath #Aston Villa #Stadium Villa Park #legenda heavy metal