Banjir: Hilir Perak catat jumlah mangsa tertinggi, pusat pemindahan di Selangor berkurangan
HIBURAN

Paduka Cik Siti: Kembali menyingkap legenda Ratu Agung Tanah Serendah Sekebun Bunga

Zahari Hamzah 07/12/2025 | 00:50 MYT
Pemilihan Asmidar (kanan) sebagai teraju utama dalam Muzikal Paduka Cik Siti, menjadi satu titik tolak yang baharu dalam kerjayanya sementara Shahrul Mizad memberi wajah kepada watak Raja Siam dengan intensiti dan keangkuhan seorang pemerintah besar.
KUALA LUMPUR: Dalam ribut perubahan dunia moden dan deras arus hiburan komersial, legenda lama sering tenggelam di celah-celah ingatan kolektif.

Namun setiap kali sebuah produksi seni besar bangkit, mengangkat kembali kisah yang telah lama membentuk jati diri bangsa, penonton diingatkan kembali bahawa sejarah bukan sekadar catatan lampau yang kaku, tetapi cerminan nilai dan kekuatan masyarakat hari ini.

Inilah semangat yang dibawa oleh Teater Muzikal Paduka Cik Siti, sebuah produksi epik yang menyingkap kembali keagungan figura lagenda dan sejarah, Cik Siti Wan Kembang, pemerintah wanita Kelantan yang begitu masyhur pada abad ke-17.

Menurut Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA), Dr Tan Awang Besar, pementasan Muzikal Paduka Cik Siti merupakan kisah keperwiraan figura pemimpin wanita yang telah memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga selama 67. tahun

Produksi ini merupakan hasil kerjasama ASWARA dan Persatuan Alumni ASWARA, dibawah pembiayaan Geran Karya Agung oleh Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya (MOTAC) dan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).

Tambah Dr Tan, sejarah membicarakan tentang tokoh dan peristiwa manakala seni mengungkap watak dan perwatakan tokoh dan menghidupkan peristiwa melalui suasana yang diangkat secara naratif dramatik.

Ini, kata beliau, sejajar dengan peranan ASWARA menjadikan seni sebagai platform mendekatkan generasi muda masa kini dengan sejarah.

Pementasan Muzikal Paduka Cik Siti bakal menemui khalayak pada 19 hingga 21 Disember 2025, di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin di Putrajaya akan menjadi medan di mana legenda, seni dan sejarah kembali bernafas.

Legenda bangkit ke pentas

Kisah Paduka Cik Siti bukan kisah kegemilangan yang berdiri tanpa ujian.

Muzikal ini membawa penonton menelusuri perjalanan seorang pemimpin wanita yang tegas, berani dan penuh kebijaksanaan, yang menempuh cabaran politik dari dalam dan luar negeri.

Dalam pentadbiran yang semakin kompleks, baginda berdepan prasangka pembesar lelaki yang meragui kemampuan wanita untuk menduduki takhta, sambil mempertahankan negeri daripada ancaman dan serangan Siam.

Namun kecintaan baginda terhadap rakyat Tanah Serendah Sekebun Bunga mengatasi segala bentuk tekanan peribadi.

Penceritaan ini mengekalkan sisi epik legenda tersebut, termasuk kisah antara baginda dan Puteri Saadong, kisah rusa emas yang melambangkan kemurnian dan kuasa, serta latar Gunung Chinta Wangsa yang sarat simbolisme.

Kesemuanya digarap menjadi satu pengalaman muzikal yang menyentuh emosi dan menghidupkan kembali keindahan sejarah Melayu dalam bentuk kontemporari.

Sentuhan seni Che Kem

Muzikal ini digerakkan oleh visi seorang pengarah yang sentiasa mengutamakan kesempurnaan estetika pentas.

Bagi Che Kem, yang terkenal dengan kepakarannya dalam seni persembahan kontemporari, Muzikal Paduka Cik Siti ialah ruang untuk memadukan dua dunia: dunia tradisi yang sarat identiti dan dunia moden yang menuntut kepantasan visual serta pengalaman menonton yang dinamik.

Menurut beliau, muzikal ini dirangka untuk menawarkan satu bentuk tontonan yang seimbang -menghiburkan namun tetap menghormati paksi utama kesenian Melayu.

Dalam muzikal ini diterapkan kesenian Kelantan seperti mak yong dalam beberapa adegan, lenggok tari tradisi dan puitika bahasa Melayu dipertemukan dengan teknologi kreatif, pencahayaan dramatik, reka bentuk pentas yang megah serta komposisi muzik kontemporari.

Bagi Che Kem, seni bukan sekadar persembahan, tetapi cara menghantar kembali warisan bangsa kepada generasi baharu dalam bentuk yang mereka boleh rasai, fahami dan kagumi.

Kekuatan kreatif: Muzik, tari dan pementasan

Di balik kemegahan visual dan naratif, teras penggerak produksi ini adalah barisan seniman yang mempunyai pengalaman tersendiri.

Pengarah muzik, Suflan Faidzal Arshad tampil dengan sentuhan komposer yang memahami akar muzik Melayu namun selesa merentas genre.

Karyanya, termasuk lagu ikonik Badarsila, membuktikan keupayaannya mencipta muzik yang memadukan tradisi dan kontemporari dengan harmoni.

Dari aspek gerak tari, gabungan pereka tari Azura Abal Abbas dan Failul Adam melahirkan bahasa gerak yang kaya sentuhan Melayu namun tetap segar.

Kontra pendekatan mereka - Azura dengan kelembutan tradisi, Failul dengan ketegasan moden -menyemarakkan lagi profil dramatik muzikal ini.

Skrip telah dihasilkan oleh Roziah Adama dan Khairunazuan Rodzi manakala lirik yang puitis dihasilkan oleh Dr Khairul Anuar Harun.

Asmidar: Mencerminkan keanggunan Sang Ratu

Langkah Asmidar semakin kukuh dalam bidang seni lakon apabila beliau telah tersenarai sebagai lima calon terbaik Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia 2025.

Ternyata Asmidar bukan calang-calang artis yang menguasai satu bidang sahaja. Beliau telah membuktikan hebat dalam nyanyian apabila menjuarai beberapa pertandingan iaitu

finalis Bintang RTM 2001, Juara Bintang Asli Remaja (2006), Juara Vokal Bukan Sekadar Rupa (2011) dan mengharumkan nama Malaysia di dunia dalam World Championships of Performing Arts (2009).

Pemilihan Asmidar sebagai teraju utama dalam Muzikal Paduka Cik Siti, menjadi satu titik tolak yang baharu dalam kerjaya beliau.

Memainkan watak Cik Siti Wan Kembang seorang tokoh lagenda termasyur Kelantan dan mewakili imej Wanita Melayu ulung menjadi satu cabaran yang besar buat Asmidar.

Menurut Che Kem, pengarah teater ini, tapisan dibuat daripada senarai pelakon yang hadir ujibakat dan yang dicadangkan oleh pihak produksi, nama Asmidar dipilih berdasarkan kredibiliti dalam seni suara tradisonal dan moden.

Kewibawaan Asmidar telah diuji dengan penglibatannya dalam pementasan berskala besar seperti P. Ramlee The Musical, Muzikal Puteri Gunung Ledang, Bangsawan Dendam Laksamana serta persembahan tradisional Mek Mulong telah memperkayakan kematangannya sebagai seorang pelakon pentas.

Tambah Che Kem, Asmidar mempunyai kualiti pesona yang sesuai untuk watak Paduka Cik Siti memandangkan beliau juga mempunyai asas persilatan yang memberi nilai tambah kepada tuntutan sebagai seorang srikandi.

Dr Norzizi Zulkifli: Wibawa sarjana di pentas

Melengkapi kekuatan teraju Muzikal Paduka Cik Siti ialah Dr Norzizi Zulkifli, nama besar dalam dunia teater, akademik dan pengarahan.

Penampilan beliau sebagai Sri Banun figura bangsawan bakal menghadirkan kedalaman emosi dan kehalusan lakonannya.

Norzizi terkenal dengan pendekatan artistik yang berakar pada tradisi Nusantara, dan kali ini beliau menguji kehebatannya sebagai pelakon muzikal dengan membawa karakter bonda Paduka Cik Siti yang berpengaruh membentuk jiwa kepimpinan dan keaggunan Cik Siti Wan Kembang, Baginda Tuanku yang memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga.



Panglima Merah, Raja Siam dan barisan pelakon mantap

Peranan Panglima Merah diserlahkan oleh Taqim Zaki, bakat pelapis yang menampilkan gabungan tenaga muda, yang memiliki vokal mantap serta gerak fizikal yang kukuh.

Wataknya melambangkan kesetiaan dan keberanian hulubalang Melayu, disampaikan melalui disiplin seni yang rapi.

Dalam pementasan muzikal, kekuatan vokal sering menjadi penentu.

Syukor Ibrahim Bachik antara barisan pelakon yang mempunyai kualiti vokal yang bagus untuk melengkapkan sebuah pementasan muzikal.

Beliau membawa karakter dengan kombinasi nyanyian dan lakonan bertenaga, memenuhi tuntutan sebuah muzikal sebenar tanpa kompromi.

Sementara itu, Shahrul Mizad memberi wajah kepada watak Raja Siam dengan intensiti dan keangkuhan seorang pemerintah besar.

Pengalamannya dalam karya teater memberikan kedalaman dramatik serta pesona pentas yang sukar diganti.

Paduka Cik Siti: Sebuah pengalaman muzikal yang menyeluruh

Che Kem menegaskan bahawa Paduka Cik Siti dirangka sebagai sebuah pengalaman muzikal yang benar-benar lengkap, mudah diikuti oleh khalayak, namun sarat dengan lapisan dramatik, sokongan teknologi yang mengujakan serta deretan lagu yang segar dan mesra pendengaran.

Naskhah ini bukan sahaja menampilkan kisah epik yang menggabungkan unsur cinta, tragedi, humor dan pertarungan, tetapi juga menyatukan kekuatan seni persembahan Melayu dalam bentuk yang paling matang dan bertenaga.

Lebih penting, produksi ini memperlihatkan keunggulan tenaga seni yang dilatih oleh ASWARA, institusi yang telah melahirkan generasi penggiat teater, muzik, tari dan lakonan selama dua dekad.

Dr Tan Awang Besar (kanan) dan Che Kem (tengah) pada sidang media pengumuman pementasan Teater Muzikal Paduka Cik Siti baru-baru ini.


Paduka Cik Siti menjadi medan pertemuan istimewa antara graduan pelbagai era - dari kumpulan terawal hingga generasi mutakhir - yang membawa bukan sahaja kemahiran teknikal, tetapi etos kerja yang cermat, berdisiplin dan berjiwa seni.

Pertemuan tenaga lakon yang terlatih, vokal yang diadun melalui pendidikan formal, kefahaman mendalam terhadap tari tradisional dan kontemporari, serta pemuzik yang terdidik dalam kerangka muzik Melayu dan moden - kesemuanya digabungkan untuk melahirkan sebuah persembahan yang memukau sebagai penutup tahun 2025.

Muzikal Paduka Cik Siti bukan sekadar mengangkat tokoh sejarah dan legenda ke pentas. Ia merupakan sebuah produksi berskala besar dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), yang berperanan penting dalam memperkasakan warisan seni Melayu sambil menonjolkan kecemerlangan pendidikan seni ASWARA.

Pementasan ini turut mengangkat keteguhan tokoh seorang wanita Melayu yang kepimpinannya merentas zaman dan kekal signifikan dalam perbincangan masa kini tentang peranan wanita dalam masyarakat.

Produksi Muzikal Paduka Cik Siti membuktikan ketika sesi sidang media yang berlangsung pada 3 Disember lalu bertempat di Rumah Tangsi memperlihatkan bahawa apabila tradisi, latihan berdisiplin dan daya cipta digabungkan oleh para seniman terlatih, terhasil sebuah persembahan yang bukan sahaja mempesona secara visual, tetapi juga menyentuh batin penonton serta menyalakan rasa bangga terhadap budaya bangsa.

Maklumat pementasan:

Tarikh: 19 hingga 21 Disember 2025

Masa:
8.30 malam - 19 & 20 Disember
3.00 petang - 20 & 21 Disember

Lokasi: Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya

Tempahan tiket: CloudJoi (https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-paduka-cik-siti)





#Paduka Cik Siti #teater muzikal #Ratu Agung #Tanah Serendah Sekebun