HIBURAN

Papa Roach menggegarkan Kuala Lumpur buat kali pertama

Astro Awani 23/01/2026 | 02:30 MYT
Persembahan ini merupakan sebahagian daripada jelajah konsert dunia Rise of the Roach Tour yang akan berlangsung di Idea Live Arena. -Gambar Instagram Papa Roach.
KUALA LUMPUR: Selepas 30 tahun kumpulan Nu Metal terkenal, Papa Roach akan mengadakan persembahan secara langsung buat kali pertama di Kuala Lumpur pada 29 Mac.

Kedatangan Papa Roach dijangka mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat yang membesar dengan album Infest pada awal 2000-an, termasuk generasi X dan Milenial awal.

“Buat pertama kali, kami membawa pengalaman era Infest ke Kuala Lumpur dan Singapura,” kata band itu melalui hantaran di Instagram pada Khamis.

Persembahan ini merupakan sebahagian daripada jelajah konsert dunia Rise of the Roach Tour yang akan berlangsung di Idea Live Arena.

Album Infest yang diterbitkan pada tahun 2000 menjadi fenomena dalam kalangan peminat muda ketika itu, menerusi lagu-lagu hit seperti Last Resort, Between Angels and Insects, Broken Home dan Dead Cell.

Barisan ahli utama kumpulan ini terdiri daripada Jacoby Shaddix selaku vokalis, Jerry Horton (gitar utama), Tobin Esperance (gitar bass) serta Tony Palermo selaku pemain dram, yang kini dianggap formasi paling stabil dalam sejarah kumpulan itu.

Tiket akan mula dijual secara dalam talian pada 28 Januari, tepat jam 12 tengah malam waktu tempatan, melalui laman web rasmi https://www.hitmanlive.com/.

Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu Rockzone RM399, Platinum RM259, Gold RM209 dan Silver RM159.

Selain Malaysia, Papa Roach akan turut mengadakan persembahan di Singapura pada 31 Mac di Arena Expo, menandakan kunjungan pertama mereka ke Asia sejak lawatan terakhir pada 2018 di Jepun dan Korea Selatan

Sejak ditubuhkan pada 1993 di Vacaville, California, Papa Roach telah menghasilkan lebih 10 album studio, termasuk Ego Trip (2022), dengan jualan melebihi 20 juta salinan di seluruh dunia.

Kehadiran Papa Roach telah memperkenalkan elemen baru dalam industri muzik, yang pada masa itu kebanyakannya dibanjiri dengan genre rock, punk, metal dan grunge.

Malah memberi inspirasi kepada kugiran tempatan untuk meneroka genre rapcore, nu-metal, dan rap metal di gig (konsert kecil) serata ibu kota.





#California #konsert #Papa Roach #Malaysia