HIBURAN

Papa Zola The Movie bakal tembusi pasaran antarabangsa mulai Januari 2026

Bernama 31/12/2025 | 01:30 MYT
Filem animasi Malaysia, Papa Zola The Movie dijangka menemui penonton antarabangsa di Asia Tenggara, Asia Barat dan Asia Selatan, susulan kejayaannya luar biasa dengan meraih kutipan RM43 juta dalam masa hanya 18 hari.
KUALA LUMPUR: Filem animasi Malaysia, Papa Zola The Movie dijangka menemui penonton antarabangsa di Asia Tenggara, Asia Barat dan Asia Selatan, susulan kejayaannya luar biasa dengan meraih kutipan RM43 juta dalam masa hanya 18 hari.

Diterbitkan oleh MONSTA dengan kerjasama Astro Shaw, filem berkenaan bakal menembusi pasaran antarabangsa bermula pada 23 Jan 2026, di Indonesia diikuti Arab Saudi pada April, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), iaitu Bahrain, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Kuwait pada Mei, serta tayangan perdana yang dijadualkan di Turki dan India.

Untuk memastikan capaian lebih meluas, filem itu akan dialih suara ke dalam bahasa Arab, Turki, Vietnam, Hindi, Tamil selain versi Inggeris, sejajar dengan komitmen MONSTA untuk memastikan mesej filem ini sampai kepada penonton global.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Pemasaran MD Pictures, Rivki Morais berkata, sambutan hangat daripada penonton telah meyakinkan pengedar antarabangsa, yang menyokong pelancaran filem ini ke pasaran global.

"Ia berpaksikan realiti kehidupan yang boleh difahami oleh setiap ibu bapa dan keluarga, menjadikannya mudah diterima di mana-mana pasaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Media MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berkata, Papa Zola The Movie adalah cerita yang mampu berdiri sendiri, yang boleh dihayati oleh penonton di seluruh dunia.

Menurut MONSTA, kisah Papa Zola, seorang bapa yang gigih berjuang untuk keluarganya dan terpaksa menghadapi situasi luar biasa demi menyelamatkan keluarganya, telah menarik minat penonton di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Selain pencapaian kutipan pecah panggung, Papa Zola The Movie turut mendapat pujian kerana naratifnya yang sarat dengan emosi, mengetengahkan cabaran kehidupan seharian, ikatan kekeluargaan, dan cabaran universal menjadi bapa.

MONSTA, studio di sebalik francais terkenal seperti BoBoiBoy dan Mechamato, sekali lagi menunjukkan keupayaannya menghasilkan cerita animasi yang menembusi sempadan budaya.

Dengan kejayaan Papa Zola The Movie, MONSTA membuktikan animasi Malaysia mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

"Filem itu membuka laluan kepada cerita tempatan yang penuh emosi, naratif yang dekat di hati, dan animasi berkualiti tinggi untuk menembusi pasaran global," menurut MONSTA.

-- BERNAMA




#Papa Zola The Movie #filem animasi #Papa Zola #pasaran antarabangsa #Astro Shaw