'Papa Zola The Movie' gegar pawagam seluruh negara 11 Dis ini

Peminat boleh menyaksikan penampilan terakhir Papa Zola dalam siri animasi BoBoiBoy Galaxy: Baraju, yang akan ditayangkan pada 18 Okt ini. - Foto Astro GEMPAK
KUALA LUMPUR: Papa Zola The Movie, filem animasi terbaharu di Malaysia, akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 11 Dis ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Abd Razak dalam kenyataan berkata filem itu ialah kerjasama antara MONSTA, Astro Shaw dan FINAS, menjanjikan gabungan jenaka, aksi dan emosi yang mendalam di wayang gambar.
Bagi memulakan kira detik, treler rasmi filem itu akan ditayangkan buat kali pertama menerusi saluran YouTube MONSTA pada 8 malam, 8 Nov.
"Penonton kami membesar bersama-sama BoBoiBoy dan Papa Zola. Kini, ramai daripada mereka sudah dewasa dan menjadi ibu bapa. Kisah ini melangkaui jenaka kerana memaparkan kasih sayang, pengorbanan dan belajar melindungi perkara yang paling penting," katanya.Bagi meraikan tayangan filem itu, Nizam berkata MONSTA akan melancarkan barangan eksklusif Papa Zola dengan kerjasama beberapa jenama isi rumah terkenal, sebuah koleksi edisi terhad buat para peminat.
Menambahkan lagi keterujaan itu, MONSTA juga akan menganjurkan kempen Papa Zola The Movie Run, iaitu "Kebena-RUN", yang akan diadakan semasa KL Car Free Day pada 7 Dis, mengajak seluruh keluarga ke acara pagi penuh bertenaga, menjelang tayangan perdana itu.
Menerusi hantaran Facebook baru-baru ini, Nizam turut menunjukkan sedutan beberapa tayangan akan datang termasuk Papa Delivery, sebuah animasi pendek baharu, dan BoBoiBoy: Watak Sampingan, yang membawa kepada debut filem berkenaan.
Peminat boleh menyaksikan penampilan terakhir Papa Zola dalam siri animasi BoBoiBoy Galaxy: Baraju, yang akan ditayangkan pada 18 Okt ini, dengan episod baharu setiap Sabtu melalui saluran YouTube MONSTA dan Netfilx, serentak dengan finale Mechamato Musim 4.
Selain itu, beliau berkata MONSTA akan mengeluarkan patung khas FGURA dan Topeng Operatif Papa Zola, P.A.P.A, yang menampilkan kesan lampu dan bunyi, bersempena dengan tayangan filem berkenaan.
Sebagai kejutan terakhir, Nizam turut mendedahkan sedutan eksklusif BoBoiBoy Movie 3 tersembunyi dalam filem Papa Zola The Movie itu sendiri nanti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami