PELAKON Desperate Housewives, Felicity Huffman antara lebih 40 orang yang didakwa terlibat dalam komplot penipuan kemasukan ke kolej berprestij Amerika Syarikat (AS), menurut rekod mahkamah.

Dalam apa yang dinamakan sebagai skandal kemasukan kolej terbesar, pelakon-pelakon Hollywood, ketua-ketua pegawai eksekutif dan pengerusi sebuah firma undang-undang antara yang didakwa menipu ujian kemasukan dan memberi rasuah untuk menempatkan anak mereka ke universiti berprestij di AS.

Antara universiti berprestij yang disebut dalam skandal ini ialah Yale, Stanford, Georgetown dan University of Southern California (USC).

Berdasarkan dokumen mahkamah, Huffman telah memberi sogokan sebanyak AS$15,000 (RM61,365) untuk memastikan anak sulungnya menyertai skim itu.

Tidak ketinggalan pelakon Lori Loughlin, yang terkenal dengan lakonannya dalam sitkom Full House juga disenaraikan.

Kesemua ibu bapa termasuk Huffman dan Loughlin dilaporkan membayar sebanyak AS$25 juta (RM102 juta) sepanjang tujuh tahun dengan mengupah orang lain menduduki peperiksaan bagi anak-anak mereka.

Bahkan, kumpulan ibu bapa kaya ini juga memberikan rasuah kepada jurulatih sukan dalam usaha merekrut anak-anak mereka, walaupun anak-anak mereka tidak berkemampuan.

Secara keseluruhan, 50 orang didakwa dalam siasatan jenayah yang dilancarkan dengan nama "Operasi Varsity Blues."

Firma yang bersubahat dalam komplot ini yang diketuai oleh Californian William Singer pada Selasa mengaku bersalah di Mahkamah Persekutuan Boston atas tuduhan penggubahan wang haram dan halangan keadilan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum 65 tahun dan denda lebih AS$1 juta (RM4 juta) kepada Singer.

Sementara itu, anak Lori Laughlin, Olivia Jade merupakan salah satu daripada pelajar USC yang didakwa diterima universiti tersebut melalui penipuan itu.

Jade bagaimanapun, telah menutup ruangan komen untuk tiga gambar terbaharu di akaun Instagram peribadinya.

Namun, gadis berusia 19 tahun itu masih tetap menjadi mangsa kecaman di entri lain yang dimuatnaiknya.


date night

A post shared by OLIVIA JADE (@oliviajade) on



Olivia Jade menerima kecaman daripada netizen berkaitan dengan penerimaannya di USC.


Sementara itu, USC dalam reaksi segera berkata, mereka dalam proses mengenal pasti dana yang diterima oleh universiti berkenaan berkaitan dengan penipuan yang didakwa ini.

Georgetown, Yale, UCLA, Wake Forest dan University of Texas juga memberikan kenyataan yang sama sambil memberitahu siasatan rapi sedang dijalankan.