[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
HIBURAN

Pelakon Desperate Housewives, Valerie Mahaffey meninggal dunia pada usia 71 tahun

Agensi 31/05/2025 | 22:30 MYT
Sepanjang kerjaya yang menjangkau lima dekad, Mahaffey (gambar) membintangi puluhan siri televisyen termasuk ER, The Man in the High Castle, dan Glee. - Gambar fail/AP
PELAKON dan pemenang anugerah Emmy, Valerie Mahaffey dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun, menurut pengesahan keluarganya.

Jurucakap Mahaffey memaklumkan kepada The Hollywood Reporter, pelakon itu menghembuskan nafas terakhir di California pada Jumaat lalu selepas didiagnosis menghidap kanser.

Mahaffey dikenali menerusi wataknya dalam beberapa siri televisyen popular seperti Desperate Housewives, Young Sheldon dan Big Sky.

Dalam satu kenyataan kepada Variety, suaminya, Joseph Kell, berkata: “Saya telah kehilangan cinta hati saya, dan Amerika telah kehilangan salah seorang pelakon wanita yang paling disayangi.”

“Pemergiannya amat dirasai,” katanya.

Anak perempuan pasangan itu, Alice, turut berkongsi rasa sedih di Facebook: “Saya kehilangan kata-kata ketika ini. Kanser memang kejam. Saya akan mencari mama dalam setiap detik bahagia kehidupan. Saya tahu mama ada di situ.”

Pada 1992, Mahaffey memenangi Anugerah Emmy bagi Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri Drama menerusi wataknya sebagai Eve dalam siri komedi gelap Northern Exposure.

Sebelum itu, beliau turut menerima Anugerah Emmy pada dekad sebelumnya menerusi wataknya dalam drama bersiri The Doctors yang ditayangkan dari 1979 hingga 1981.

Beliau juga membintangi beberapa filem seperti Sully dan Seabiscuit.

Antara peranan terbaharunya termasuk sebagai Madame Reynard dalam filem French Exit (2020), yang melayakkan beliau dicalonkan untuk Anugerah Independent Spirit.

Dilahirkan di Sumatera, Indonesia, hasil perkahwinan ibunya dari Kanada dan bapanya warga Amerika, Mahaffey berpindah ke Texas sewaktu usia remaja.

Penampilan filem pertamanya bermula pada 1977 menerusi filem Tell Me My Name.

Sepanjang kerjayanya yang menjangkau lima dekad, Mahaffey membintangi puluhan siri televisyen termasuk ER, The Man in the High Castle, dan Glee.

Dalam Desperate Housewives, wataknya sebagai Alma Hodge - bekas isteri manipulatif kepada Orson Hodge - mencuri perhatian ramai menerusi lapan episod di kawasan kejiranan penuh drama, Wisteria Lane.

Beliau turut dikenali sebagai guru Victoria MacElroy dalam siri Young Sheldon, sebuah kesinambungan kepada siri popular The Big Bang Theory yang memfokuskan zaman kanak-kanak Sheldon Cooper. - Agensi



#Valerie Mahaffey #pelakon Desperate Housewives #Valerie Mahaffey meninggal dunia #Young Sheldon